Pada malam semalam tular satu klip video menunjukkan sebuah ambulans terbalik selepas dirempuh sebuah kenderaan. Ramai warganet mendakwa pemandu membawa kereta dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan tersebut berlaku.
Bagaimanapun polis menafikan dakwaan tersebut.
Baca Juga:
- Enggan Beri Laluan Kepada Ambulans, Polis Johor Buru Pemandu Mercedes Singapura
- Agong Dahulukan Rakyat, Beri Laluan Kepada Ambulans Dalam Kecemasan
- ‘Belum Sempat Telefon Sudah Sampai’ – Netizen Kagum Dengan Kepantasan Ambulans Ini Membantu Mangsa
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dalam satu kenyataan malam semalam, meminta orang ramai supaya tidak membuat andaian mengenai kejadian itu dan jika mereka berada di tempat kejadian diharap melaporkan kepada polis.
Warga asing langgar lampu merah dan merempuh Ambulance yang sedang membawa pesakit ke hospital..
Kejadian di putrajaya.
Kredit owner 🎥 pic.twitter.com/e7fx44UJSa— nan manjoi8715 (@nanmanjoi8715) October 27, 2023
“Netizen pandai-pandai membuat ulasan sendiri kerana siasatan pegawai penyiasat di lokasi kejadian mendapati pemandu berkenaan tidak di bawah pengaruh alkohol dan saringan air kencing lelaki itu didapati negatif.
“Laluan untuk pemandu kereta itu berjalan seiring dengan kenderaan lain di lorong kanan dan kiri serta kereta itu tidak dengar atau melihat siren ambulans kerana keretanya terhalang dengan kenderaan sebelah yang berjalan seiring,” katanya.
Asmadi berkata, kejadian itu berlaku pada 11.45 malam di persimpangan lampu isyarat Lebuh Bestari berdekatan Menara Usahawan ketika sebuah ambulans membawa seorang pesakit terbalik selepas dilanggar sebuah kereta jenis Audi TT FSI Auto dipandu warga asing.
Beliau berkata, siasatan mendapati ambulans dinaiki tiga kakitangan Hospital Putrajaya itu dalam perjalanan ke hospital selepas mengambil seorang pesakit di Presint 18.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, ambulans berkenaan sedang melalui persimpangan lampu isyarat itu dengan membunyikan hon dan siren sebelum tiba-tiba dilanggar kereta dari arah bertentangan.
“Siasatan mendapati pemandu kereta itu panik dan tidak sempat brek sebelum melanggar ambulans tersebut ketika melalui persimpangan lampu isyarat itu di mana ketika itu lampu bertukar hijau,” katanya.
Beliau berkata, kereta berkenaan dari arah Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra manakala ambulans itu dari arah Presint 18 menuju ke Hospital Putrajaya.
“Akibat rempuhan itu, ambulans berkenaan terbalik dan tiga mangsa termasuk dua penumpang ambulans dan seorang pesakit mengalami kecederaan manakala pemandu kereta dan penumpang tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Asmadi berkata, ketika kejadian permukaan jalan rata dan tidak licin dan kes itu masih dalam siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, polis turut memohon rakaman sistem litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.