Cuba jujur, berapa ramai antara kita yang ingat tugas jaga kereta ni cuma takat isi minyak dan masuk tempat cuci?
Selagi enjin boleh start, aircond sejuk, dan lagu dekat radio rancak dimainkan, kita anggap kereta kita ‘sihat walafiat’. Sampailah satu hari, timbul bunyi pelik, asap keluar dari bonet hadapan kereta, dan mekanik bagi resit pembaikan cecah empat angka. Masa tu, nak menyesal pun dah tak guna.
Padahal, anda tak perlu ijazah kejuruteraan pun untuk elak tragedi ini daripada berlaku. Cukup sekadar tahu 10 checklist asas kereta yang boleh selamatkan duit gaji anda daripada ‘terbang’ begitu sahaja:
1. Tukar Minyak Enjin Mengikut Jadual

Minyak enjin berfungsi melincirkan komponen dalaman enjin. Jika lambat ditukar, minyak akan menjadi pekat serta kotor, lalu merosakkan enjin. Sentiasa tukar mengikut saranan dalam manual atau jadual servis kenderaan bergantung kepada model dan jenis minyak.
2. Semak Tekanan Angin Tayar
Tekanan angin yang kurang menyebabkan tayar berat dan enjin terpaksa bekerja lebih keras, sekali gus meningkatkan penggunaan bahan api. Semak kadar PSI yang betul pada pelekat di tiang pintu pemandu.
3. Periksa Keadaan Fizikal Dan Bunga Tayar

Tayar yang masih ada angin belum tentu selamat.
Periksa keadaan bunga tayar secara berkaIa. Jika tayar mula botak, retak, atau ada benjolan, gantikannya segera untuk elak risiko meletup atau terbabas.
4. Jaga-Jaga Jika Lampu Amaran Dashboard Menyala

Simbol amaran seperti minyak enjin, bateri, atau ‘Check Engine’ menunjukkan ada komponen yang bermasalah. Jangan abaikan lampu ini semata-mata kerana kereta masih boleh dipandu.
5. Kesan Tanda-Tanda Bateri Lemah
Jika enjin mula lambat dihidupkan (cranking lemah) atau lampu kenderaan semakin malap, itu tanda bateri sudah hampir rosak. Tukar bateri baharu sebelum kereta tersadai secara tiba-tiba.
6. Periksa Paras Cecair Radiator (Coolant)

Coolant berfungsi mengawal suhu enjin daripada overheat. Semak paras cecair di tangki simpanan secara berkala, tetapi pastikan anda tidak membuka penutup radiator ketika enjin masih panas.
7. Periksa Sistem Brek Jika Berbunyi
Bunyi berdecit semasa membrek atau pedal rasa terlalu dalam menunjukkan pad brek semakin nipis. Sistem brek ialah komponen keselamatan utama, jadi periksanya dengan secepat mungkin.
8. Tukar Wiper Yang Sudah Haus

Wiper yang rosak akan meninggalkan kesan garisan air atau berbunyi kasar semasa hujan. Harganya murah, tetapi peranannya sangat penting untuk memastikan pandangan anda kekal jelas.
9. Patuhi Jadual Servis Berkala
Jangan tunggu kereta rosak baru hendak ke bengkel. Servis berkala membantu menukar komponen yang haus sebelum ia menjejaskan bahagian enjin lain yang lebih mahal.
10. Peka Terhadap Bunyi Dan Gegaran Pelik
Kenali prestasi biasa kereta anda. Jika timbul gegaran pada stereng, bau hangit, atau bunyi luar biasa semasa memandu, terus dapatkan pemeriksaan mekanik sebelum kerosakan menjadi lebih parah.
Jaga kereta sebenarnya tak rumit dan tak perlukan kepakaran luar biasa. Cukup dengan sedikit sikap peka dan rajin menjenguk komponen asas ini secara berkala. Ingat, melabur sedikit masa dan duit untuk penyelenggaraan hari ini jauh lebih baik daripada melayang ribuan ringgit akibat kecuaian sendiri esok!