Pada tahun lalu Nothing Ear (1) menjadi satu model earphone yang dinanti-nantikan ramai kerana ianya ciptaan ‘rebel-technologist‘ Carl Pei, bekas pengasas OnePlus yang cukup ternama dalam dunia telefon pintar platform Android satu masa dahulu. Anda boleh tonton review yang pernah kami kongsikan dahulu.
Baru-baru ini kami telah menerima unit review earphone terbaharu yang dikenali sebagai Nothing Ear (Stick). Kenapa namanya seperti begitu? Ini kerana bekas penyimpannya bersaiz sekecil gincu sahaja, itulah apa yang kami rasa apabila pertama kali memegangnya.
Namun, kecil-kecil cili padi, model ini mempunyai banyak kelebihan yang dicari-cari oleh individu audiophile yang tidak boleh lekang daripada menggunakan earphone dan mahu nampak bergaya ketika mendengar musik atau menonton video pada telefon pintar.
Direka sebagai half-in ear, model yang seringan 4.4 gram ini lebih selesa digunakan oleh individu yang mempunyai telinga bersaiz kecil, namun tidak menggangu pengalaman bagi pengguna yang mempunyai saiz telinga sebaliknya walaupun earphone ini tidak ditawarkan dengan pilihan saiz earbud — satu saiz muat untuk semua pengguna dan ia juga tidak mudah terjatuh daripada telinga pemakai.
Bunyi yang dihasilkan oleh Ear (Stick) terasa ‘hidup’ dengan beberapa ciri utama seperti ‘Custom Driver’ yang merupakan ‘senjata rahsia’ Nothing dalam penghasilan earphone ini. Magnet speaker berkualiti digunakan bagi meningkat kuasa dan sensitiviti, sekaligus menjadikan bunyi yang tulen dan berdefinisi tinggi.
Manakala ‘Bass Lock Technology’ pula dapat mengelakkan kebocoran bunyi daripada reka bentuk half-in ear. Teknologi tersebut dapat bertindak secara pintar mengesan kehilangan bunyi bass ketika memakai Ear (Stick) dan segera mengubah equalizer curve ke tahap optimum. Anda boleh boleh ubah tetapan bass itu sama ada rendah, sederhana atau tinggi. Jika mahu lebih mudah, gunakan saja ‘ready-made presets‘ yang tersedia.
Untuk audio yang baik semasa berbual menggunakan Ear (Stick), model ini mempunyai ‘Clear Voice Technology’ yang dikuasakan oleh tiga mikrofon berdefinisi tinggi dan algoritma pintar untuk menapis bunyi-bunyi bising daripada luar. Mikrofon itu dapat menguatkan suara anda, kalis-angin dan kalis bunyi yang dihasilkan oleh orang ramai di sekitar anda.
Antena pada model kali ini telah direka semula untuk meminimumkan gangguan signal. Agak menarik sekali, Ear (Stick) berubah menjadi ‘Low Lag Mode’ ketika anda bermain permainan video di Phone (1) yang mana ia dapat selarikan bunyi dan grafik permainan video tersebut. Jadi anda tidak akan ‘potong mood‘ semasa bermain.
Pada masa sama, earphone ini dapat bersambung dengan mudah mana-mana peranti Android melalui fungsi ‘Fast Pair’. Bahkan ia juga boleh digunakan pada peranti Apple juga.
Oh ya, tidak lupa juga Ear (Stick) hadir dengan ciri ‘Press Controls’ yang mana anda boleh mengawal earphone ini dengan ‘menekannya’ untuk play, pause, skip tracks, mengawal bunyi, aktifkan voice assistant dengan mudah. Ciri ini dapat mengelakkan anda ‘tersalah kawal’ dan berfungsi dengan baik walaupun jari anda basah.
Bagi memastikan anda dapat kawalan menyeluruh, aplikasi Nothing X dapat membantu anda mengawal tetapan EQ dan menunjukkan status bateri bagi kiri dan kanan Ear (Stick) serta bekas penyimpannya. Aplikasi itu boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Store. Bagi pengguna Phone (1), Nothing X sudah tersedia untuk digunakan bila-bila masa.
Walau saiz casing sebesar gincu, Ear (Stick) mampu memberikan pengalaman bunyi yang mengasyikkan sehingga 7 jam. Dengan pengecasan 10 minit, model ini boleh digunakan selama 2 jam.
Manakala casing pula boleh membuat earphone bertahan sehingga 29 jam lamanya dan pengecasan 10 minit membolehkan casing ini ‘bertenaga’ semula sehingga 9 jam.
Daripada segi ketahanan pula, Ear (Stick) mencapai piawaian IP54 yang membolehkannya terkena percikan air atau peluh sekiranya digunakan semasa melakukan aktiviti-aktiviti di luar rumah.
Apa yang kami boleh simpulkan penambahbaikkan yang ada pada Nothing Ear (Stick) sememangnya satu ‘game-changer‘ bagi earphone yang mesra-platform-Android. Tidak lupa juga, iOS.
Bagi anda yang ingin memilikinya, bolehlah dapatkan Nothing Ear (Stick) yang berharga RM469 melalui Shopee atau beberapa kedai fizikal terpilih.
Harga ditawarkan untuk model kali ini sedikit murah berbanding Nothing Ear (1), namun Ear (Stick) mampu memberikan kepuasan kepada pengguna dengan ciri-ciri yang diperlukan tanpa menjejaskan kualiti bunyinya.