Selain Menara Berkembar KLCC, Bukit Bintang sudah menjadi salah satu tempat wajib bagi setiap pelancong untuk menyelami budaya tempatan dan melihat pencakar langit di sini.

Memetik dari Kosmo, sempena pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026, buat kali yang pertama, perarakan yang penuh gilang-gemilang akan diadakan di Bukit Bintang pada 3 Januari tahun hadapan.

Bukit Bintang Jadi ‘Disneyland Malaysia’ Tahun Depan
Sumber Gambar: Kosmo

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyatakan bahawa perarakan itu akan merangkumi pelbagai pertunjukan budaya Malaysia di sepanjang jalan yang terlibat.

Menurut beliau, tarikh itu dipilih secara khusus untuk mengelakkan kawasan Bukit Bintang daripada dibanjiri pengunjung, seperti yang sering berlaku semasa musim Krismas dan Tahun Baharu.

“Kita akan memohon kepada Polis Diraja Malaysia untuk menutup jalan di Bukit Bintang pada waktu petang bagi menjayakan perarakan ini.

“Ini kali pertama kita adakan perarakan di Bukit Bintang yang setanding persembahan di Disneyland. Jadi, orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan,” katanya pada sidang akhbar Projek ‘I Lite U’ di Bukit Bintang hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM2 juta setiap satu daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memeriahkan program ‘I Lite U Bukit Bintang’.

Kor Ming berkata, peruntukan RM4 juta yang disalurkan itu adalah bukti semangat kerja berpasukan bagi memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026. Dana tersebut akan digunakan untuk inisiatif pencahayaan bandar yang berkonsepkan Inovasi dan kelestarian, dengan matlamat memperindah dan menghidupkan semula Bukit Bintang sebagai ‘kawasan segi tiga emas’ Malaysia.

“Ini adalah masa keemasan susulan kejayaan sidang kemuncak ASEAN baru-baru ini untuk kita memperhebatkan momentum positif dari seluruh dunia.

“Sebab itu, kita akan libatkan agensi lain seperti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Alam Flora Sdn. Bhd. dan lain-lain untuk memastikan Bukit Bintang sentiasa bersih, ceria dan bermanfaat,” ujarnya.