Nasib berbeza dialami Chen Tang Jie-Toh We Wei dan Pearly Tan-M. Thinaah pada aksi kedua BWF World Tour Finals 2024 yang berlangsung di Hangzhou, China.
Pasangan beregu campuran nombor satu negara itu meneruskan rentak cemerlang dengan kemenangan ‘straight set’ yang dicatatkan ke atas gandingan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emmanuelle Widjaja.

Baca Juga:
- Jadual Perlawanan Wakil Malaysia Di BWF World Tour Finals 2024
- Keputusan Undian BWF World Tour Finals 2024
- Ini Jumlah Hadiah Wang Tunai Menanti Pemain Di BWF World Tour Finals 2024
Kemenangan 21-17, 21-18 itu sekali gus membawa Tang Jie-Ee Wei ke pentas separuh akhir hasil dua kemenangan dicatatkan.
Semalam, duo yang kini menghuni ranking kelapan dunia itu berjaya menundukkan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.
Soon Huat dan Shevon kembali menghidupkan peluang untuk ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dengan kemenangan 21-14, 21-14.
Pasangan suami isteri itu akan menurut jejak langkah Tang Jie-Ee Wei sekiranya berjaya menundukkan Dejan-Gloria, esok.
Nasib malang menimpa Pearly Tan dan M. Thinaah apabila mereka mengalami kekalahan kedua berturut-turut.
Selepas tunduk kepada Nami Matsuyama-Chiharu Shida, mereka sekali lagi hampa sebentar tadi berikutan kekalahan kepada wakil India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela.
Kekalahan 19-21, 19-21 itu seakan-akan menutup terus peluang Pearly-Thinaah untuk melangkah lebih jauh pada edisi kali ini.
Sementara itu tiga lagi wakil negara akan turun beraksi pada sesi sebelah petang dimana kemenangan akan turut membawa perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke separuh akhir.