Kerajaan sedang menilai kebolehlaksanaan untuk menganjurkan semula perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia secara berkala, termasuk cadangan melaksanakannya setiap beberapa tahun dengan kerjasama negara-negara lain.

Menerusi video dimuat naik Free Malaysia Today, Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari, memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa pelbagai penilaian penting perlu dilakukan terlebih dahulu, terutamanya dari sudut impak ekonomi dan kes ketersediaan infrastruktur negara.

Menurut beliau, kerajaan perlu meneliti kebolehlaksanaan serta pulangan ekonomi jika perlumbaan itu diadakan secara tahunan berbanding secara penggiliran berkala.

“Kita perlu lihat apakah jika setiap tahun kita laksanakan F1 ini, pulangan yang sama akan kita dapatkan? Dan adakah kita sudah bersedia dengan pelbagai infrastruktur yang telah pun dibina dan sebagainya? Jadi beberapa penilaian penting perlu kita nilai, antaranya kadar kebolehlaksanaan dari segi impak ekonomi kepada negara,” kata Taufiq.

Beliau turut mendedahkan bahawa perbincangan peringkat awal telah pun berlaku antara Perdana Menteri bersama pihak pengurusan tertinggi F1.

“Ada perbincangan awal antara YAB Perdana Menteri bersama dengan CEO F1 dan juga F1 management berkaitan dengan perkara ini. Dan ada juga cadangan untuk kita melaksanakannya dalam tempoh beberapa tahun sekali dengan kerjasama oleh mana-mana negara yang akan kita deal dan sebagainya. Jadi itu masih lagi dalam peringkat yang awal untuk kita menilai kadar kebolehlaksanaan,” tambahnya.

F1 Pulang Ke Litar Sepang: Jana Impak Ekonomi RM950 Juta

Mengenai unjuran kewangan, beliau menyatakan bahawa penganjuran baru-baru ini telah mencatatkan pulangan mencecah RM950 juta.

Walau bagaimanapun, sebarang keputusan bagi penganjuran pada masa hadapan memerlukan penilaian yang lebih menyeluruh sebelum sebarang komitmen dibuat.

Sementara itu, memetik Buletin TV3, Taufiq memberitahu bahawa penilaian sedang dilaksanakan.

Menjelang November, hasil laporan penilaian akan dibawa kepada Jemaah Menteri sebelum keputusan dibuat sama ada F1 akan dibawa semula ke Malaysia atau tidak.