Penganjuran Perlumbaan Formula 1 (F1) Bahrain Gulf Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini berjaya menjana impak ekonomi mencecah hampir RM950 juta kepada negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kejohanan yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober lalu itu menarik kehadiran kira-kira 261,000 penonton, termasuk dianggarkan 103,000 pengunjung pada hari perlumbaan, petik New Straits Times.
Memetik laporan Formula One Management (FOM), beliau memaklumkan bahawa perlumbaan berkenaan disiarkan secara antarabangsa dan ditonton oleh lebih 827 juta penonton di seluruh dunia.
“Lebih 97,000 tiket dianggarkan telah dijual, manakala lebih 50,000 pelancong antarabangsa serta kira-kira 5,000 pekerja asing hadir ke Malaysia bersempena acara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang ingin tahu mengenai faedah ekonomi perlumbaan itu berbanding kos kerajaan, serta sama ada penilaian kos dan faedah akan dijadikan panduan bagi menentukan kebolehan Malaysia menganjurkan F1 secara berkala pada masa hadapan.
Mengulas lanjut, Dr Mohammed Taufiq menjelaskan bahawa penganjuran julung kali itu adalah hasil kerjasama erat antara pihak SIC dan Litar Antarabangsa Bahrain, dengan sokongan penuh padu daripada kerajaan serta pemegang taruh berkaitan.
Berbeza dengan model perniagaan terdahulu, beliau menegaskan bahawa pihak Bahrain menanggung kos hak penganjuran (hosting rights), sekali gus membolehkan Malaysia meraih manfaat ekonomi secara optimum tanpa bebanan kos lesen yang tinggi.
Kehadiran puluhan ribu pelawat luar negara itu turut memberi limpahan ekonomi serta merta kepada pelbagai sektor seperti pelancongan, perhotelan, penerbangan, serta perniagaan kecil dan sederhana (PKS), selain mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi sukan dan pelaburan antarabangsa.
Mengenai hala tuju penganjuran pada masa hadapan, beliau memberitahu bahawa pihak SIC bersama sebuah syarikat perunding yang dilantik sedang menjalankan kajian penilaian kos dan faedah menyeluruh memandangkan acara berkenaan baru sahaja selesai.
“Dapatan daripada penilaian kos dan faedah ini bakal menjadi antara pertimbangan utama kerajaan dalam menentukan sama ada Malaysia wajar mempertimbangkan untuk menganjurkan semula perlumbaan F1 pada masa hadapan,” katanya.