Legenda England dan Manchester United, Gary Neville menyuarakan pendapat yang disifatkannya dalam usaha merevolusikan saingan English Premier League (EPL) pada masa akan datang.
Menurut sumber laporan Goal, Neville memberikan cadangan supaya penentuan sepakan penalti dijalankan sekiranya satu-satu perlawanan itu berkesudahan dengan keputusan seri.
Baca Juga:
- Euro 2024: Keputusan Beri Penalti Kepada England Memalukan – Gary Neville
- Gary Neville: Kalau Masih Main Cara Sama, England Akan Tewas Kepada Switzerland
- Roy Keane Cadang Ronaldo Berehat Dan Lupakan Piala Dunia 2026
“Saya akan mencadangkan sesuatu yang radikal. Saya sudah fikirkan tentang penamat perlawanan liga yang terikat, penalti untuk mendapatkan mata tambahan.”
“Jadi, anda dapat dua mata jika menang dalam sepakan penalti. Jadikan ia menarik, setiap perlawanan, untuk peminat yang datang.”
“Seorang kanak-kanak yang pergi ke perlawanan untuk kali pertama, mungkin itu satu-satunya perlawanan mereka pada musim ini, melihat keputusan seri 0-0 atau 1-1. Jika perlawanan itu berakhir dengan sepakan penalti, sekurang-kurangnya ada pemenang.”
“Pada akhirnya, ada sepakan penalti. Kanak-kanak suka sepakan penalti. Anak perempuan saya pun suka sepakan penalti di akhir,” ujar Neville lagi.
Cadangan Gary Neville ini sebenarnya bukanlah idea gurauan kerana Liga Malaysia 1999 dimana ketika itu dengan format Liga Perdana Satu dan Liga Perdana Dua pernah mengimplementasikan cara sebegini.
Ia jelas sama dengan apa yang bermain di minda Neville apabila pada ketika itu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkenalkan format mata tambahan kepada pasukan yang berjaya memenangi sepakan penalti sekiranya kedua-dua pasukan yang beraksi menamatkan 90 minit permainan dengan keputusan seri.
Dengan penggunaan format tersebut, pasukan yang berjaya memenangi sepakan penalti tersebut akan memperoleh dua mata manakala pasukan yang tewas kekal dengan satu mata.
Andai disingkap kembali pada ketika itu, Selangor yang beraksi dalam Liga Perdana Dua menjadi pasukan paling banyak meraih mata mengikut format baharu itu.
Selangor mencatatkan 10 keputusan seri dimana mereka telah menang enam penentuan sepakan penalti untuk mengutip 16 mata keseluruhan.