Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) meluahkan kekesalan berikutan tindakan Malaysia menarik diri daripada saingan Piala Negara-Negara CAFA 2025.
FAM pada petang tadi mengumumkan penarikan diri skuad Harimau Malaya daripada kejohanan tersebut kerana menyatakan perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran menyebabkan saingan awal kejohanan bermula di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Keadaan tersebut dikatakan memberikan cabaran segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka.
Namun, CAFA tampil dengan menempelak kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM tersebut.
Pihak CAFA menjelaskan bahawa tarikh tersebut sudah diketahui lebih awal dan ia langsung tidak pernah berubah seperti didedahkan FAM.
“Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) memaklumkan dengan rasa kesal bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah secara rasmi menarik diri daripada menyertai Piala Negara-Negara CAFA 2025.”
“Penyertaan Malaysia telahpun disahkan lebih awal, dengan pengetahuan penuh mengenai tarikh kejohanan (29.08 – 08.09.2025) dan jadual pertandingan, yang tidak pernah berubah sejak awal.”
“Malangnya, penarikan diri pada saat akhir ini telah menjejaskan beberapa proses penganjuran yang sedang berjalan, terutamanya memandangkan perancangan dan persediaan telah berada di peringkat yang agak lanjut.”
“FAM memaklumkan bahawa sebab penarikan diri adalah kerana kejohanan ini tidak sepenuhnya berlangsung dalam kalendar perlawanan antarabangsa FIFA, dan oleh itu, pelepasan pemain mungkin akan terhad.”
“Namun begitu, berdasarkan peraturan kejohanan, pendaftaran akhir pemain yang dipilih daripada senarai awal 35 pemain boleh dikemukakan mengikut perlawanan.”
“Ini memberi ruang fleksibiliti maksimum, termasuk kemungkinan pemain utama menyertai pasukan untuk perlawanan seterusnya.”
“CAFA tetap komited untuk menganjurkan kejohanan yang berkualiti tinggi dan kompetitif untuk rakyat Asia Tengah dan seterusnya dan kami mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang terus memberikan sokongan serta kerjasama,” ujar badan induk bola sepak Asia Tengah itu dalam kenyataan rasmi dikeluarkan.