Hasrat untuk melihat skuad Harimau Malaya beraksi menentang pasukan nombor dua Asia, Iran tidak kesampaian apabila mengumumkan penarikan diri daripada saingan Piala Negara-Negara CAFA 2025.

Perkembangan terkini itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan ketua jurulatih, Peter Cklamovski sebentar tadi.

Baca Juga:

Menurutnya, keputusan tersebut terpaksa diambil selepas melihat tarikh baharu kejohanan itu menyebabkan saingan awal kejohanan bermula di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perubahan itu disifatkan oleh Peter sebagai menjejaskan usaha beliau untuk membentuk skuad terbaik bagi menghadapi Iran, Uzbekistan dan Afghanistan.

Harimau Malaya
Kredit Foto: NSTP/AIZUDDIN SAAD

Harimau Malaya Tak Jadi Ke Dushanbe

“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia & Jepun.”

“Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini.”

“Selain itu, isu logistik, keperluan pemulihan pemain, serta implikasi terhadap bajet keseluruhan turut menjadi faktor penting.”

Harimau Malaya
Kredit Foto: NSTP/AIZUDDIN SAAD

“Saya tidak mahu menjejaskan kebajikan serta kondisi pemain atau menyertai kejohanan dengan skuad yang tidak lengkap. Ini adalah satu keputusan yang tepat dan strategik.”

“Fokus kami kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pada jendela September sebagai persiapan terbaik menjelang aksi penting pada Oktober dan November, perlawanan menentang Laos dan Nepal,” ujar Peter Cklamovski lagi.

Dalam perkembangan sama, FAM sedar kekecewaan segelintir penyokong yang menantikan aksi Harimau Malaya dalam kejohanan serantau ini.

Namun, keputusan ini dibuat setelah pertimbangan menyeluruh terhadap kepentingan jangka panjang skuad kebangsaan dan keperluan mengekalkan prestasi kompetitif yang mampan.