Kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan skuad Harimau Malaya melonjak naik ke tangga ke-125 dunia.
Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 6 anak tangga dalam ranking FIFA berbanding kemas kini sebelum ini pada 3 April lalu.
Baca Juga:
- Vietnam Enggan Ikut Jejak Langkah Malaysia, Indonesia

- Pundit Vietnam: Malaysia Ada Pemain ‘Superstar’, Indonesia Pun Mungkin Tak Mampu Lawan

- Kelayakan Piala Asia 2027: Harimau Malaya Belasah Vietnam 4-0

Perkembangan positif itu hadir selepas skuad kendalian Peter Cklamovski mencatatkan keputusan positif iaitu membelasah Vietnam 4-0 pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027.

Sebelum itu, Harimau Malaya turut berjaya mengikat pasukan di ranking ke-73 ranking dunia, Cape Verde 1-1 dalam perlawanan persahabatan tier 1 di Cheras.
Prestasi ini dilihat sebagai isyarat bahawa Malaysia semakin bersedia untuk memberi saingan lebih sengit di peringkat antarabangsa khususnya menjelang aksi kelayakan dan kejohanan serantau yang akan datang.
Keyakinan tinggi itu ada asasnya berikutan kehadiran ramai pemain warisan yang mampu untuk memberikan sumbangan cukup besar buat skuad negara.
Peluang Terus Perbaiki Ranking FIFA
Misi skuad negara selepas ini akan terarah dalam Kejohanan Piala Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang akan berlangsung pada 29 Ogos hingga 8 September di Dushanbe, Tajikistan.

Malaysia telah diundi bersama-sama Tajikistan, Afghanistan dan gergasi bola sepak Asia, Iran.
Skuad negara akan memulakan aksi menentang tuan rumah pada 29 Ogos, kemudiannya berhadapan dengan Iran (1 September) dan Afghanistan (4 September).
Ranking FIFA seterusnya akan dikemas kini pada 18 September 2025. Semua mata kini tertumpu untuk melihat sejauh mana momentum ini dapat diteruskan skuad negara di peringkat antarabangsa.