Legenda Brazil, Cafu percaya bahawa Selecao telah menjejaskan sendiri usaha mereka untuk meraih gelaran Piala Dunia keenam dengan meletakkan beban tanggungjawab yang tidak adil ke atas Neymar selama lebih sedekad.

Bek kanan legenda itu berhujah bahawa ketiadaan barisan pemain sokongan yang kuat di sekeliling penyerang Santos tersebut menjadi punca utama kemarau trofi dunia negara itu selama 24 tahun.

Neymar telah menjadi ikon utama bola sepak Brazil tanpa sebarang pertikaian sejak penampilan sulungnya pada tahun 2010, namun Cafu percaya negara itu gagal melindungi aset terbesar mereka.

Walaupun generasi terdahulu dibarisi deretan bintang yang mampu menentukan keputusan perlawanan, bekas pertahanan AS Roma dan AC Milan itu merasakan Neymar sering dipaksa memikul sepenuhnya harapan dan beban negara di atas bahunya.

“Saya bercakap dengan Roberto Carlos dan berkata: ‘Sayangnya budak ini keseorangan,” dedah Cafu menurut sumber laporan Goal.

“Selama 15 tahun dia memikul tanggungjawab untuk melakukan segalanya, tetapi melakukannya seorang diri tidak berguna. Apabila bercakap tentang pasukan kebangsaan, tanggungjawab itu perlu dikongsi bersama.”

“Pada tahun 2002 [Piala Dunia Korea dan Jepun], kami tidak pernah mempunyai pemain terbaik yang sama di atas padang walaupun sekali,” jelas Cafu.

“Jika Neymar mendapat sokongan seperti yang kami miliki pada 2002, dia tidak perlu menjadi pemain terbaik di atas padang setiap kali bermain. Malangnya, sudah lama kami hanya bergantung kepada Neymar dan kami meletakkan segala-galanya di bahunya.”

Pada usia 34 tahun dan sering dibelenggu kecederaan, khidmat Neymar masih diperlukan selepas beliau diumumkan berada dalam skuad kebangsaan Brazil ke Piala Dunia 2026.

Sumber