Pada hari semalam Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan pengguna aplikasi itu akan dikenakan caj transaksi bermula 1 November ini.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat berkata, pengenaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit tidak membebankan golongan berpendapatan rendah di negara ini, petik Sinar Harian.

Baca Juga:

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah bertemu dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour pada Khamis untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

“Saya berbincang dengan Gabenor BNM semalam (Khamis).

Mengikut dia, penjelasan yang diberikan (ialah yuran transaksi) tidak akan dikenakan kepada golongan bawahan.

“Yang penting, tidak bebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pameran ‘Postnormal Times’ di KL Jazz and Arts Centre di sini, pada Jumaat.

Untuk makluman, caj transaksi tersebut dikenakan sebanyak 50 sen bagi urus niaga melebihi RM5,000 melibatkan pemindahan dana rakan setara (peer-to-peer) daripada QR peribadi ke QR peribadi lain, bukan pembayaran kepada peniaga.

Setakat ini terdapat tiga bank mengesahkan membuat keputusan untuk melanjutkan pengecualian caj transaksi buat pengguna mereka iaitu Maybank, Public Bank dan CIMB.

Sumber