Pengadil elit negara, Muhammad Nazmi Nasaruddin diberi kepercayaan untuk mengadili pertembungan tumpuan final Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Pemilihan Nazmi diketahui peminat bola sepak negara selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memuat naik gambar mesyuarat koordinasi perlawanan (MCM) di laman sosial rasmi.
Baca Juga:
Peminat juga berharap mutu pengadilan untuk perlawanan akhir itu lebih berkualiti memandangkan pengadil yang dipilih memiliki lencana FIFA.
Nazmi cukup berpengalaman luas di pentas antarabangsa dan beliau juga merupakan calon pengadil utama bagi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 11 Jun hingga 19 Julai 2026.

Prestasi cemerlang Nazmi ketika mengadili aksi Piala Asia 2023 di Qatar mendapat pengiktirafan daripada FIFA dan AFC sekali gus membolehkan Nazmi dipilih secara merit sebagai ‘Calon Piala Dunia FIFA 2026.’
Nazmi mula menceburi bidang pengadil bola sepak sejak 2010 muncul pengadil Malaysia pertama mengadili perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) iaitu ketika perlawanan yang berlangsung pada 20 September 2023 di Thailand membabitkan Buriram United menentang kelab China, Zhejiang FC.
Selain itu, beliau juga pernah dijemput untuk mengadili beberapa perlawanan Liga Arab Saudi 2023.
Selaras dengan penetapan syarat FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di mana semua pengadil yang dilantik untuk perlawanan berprestij wajib memiliki lesen VAR, maka Nazmi pilihan yang tepat untuk aksi final Piala FA esok.