Bola rasmi yang akan digunakan untuk aksi final Piala FA antara Selangor FC (SFC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya ditukar oleh pihak penaja, Active Sports selepas dikecam hebat oleh peminat bola sepak tanah air.

Ketika diperkenalkan oleh Malaysian Football League (MFL), ada rekaan logo dua kelab yang bertanding pada bola tersebut namun dikecam hebat oleh peminat kerana terdapat kalimah Allah pada logo pasukan Selangor.

Baca Juga:

Penggunaan kalimah suci bagi umat Islam itu tidak sesuai diletakkan pada sebiji bola yang disepak oleh pemain ketika beraksi di padang.

Active Sports menerusi kenyataan di laman instagram mengakui telah melakukan kesilapan dan akan lebih berhati-hati dalam soal sensitiviti agama.

“Kami dari pihak Activesports cakna atas sensitiviti dan memohon akibat akibat kekhilafan. Suara anda penyokong ke-12 sangat penting buat kami yang juga perlukan sokongan anda,” katanya.

Selepas mengambil kira pandangan peminat, mereka telah membuat keputusan untuk membuang logo kelab pada bola tersebut dan digantikan dengan perkataan ‘JDT’ dan ‘SEL’.

Bola tersebut akan digunakan secara rasmi pada final yang berlangsung pada hari sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Penggunaan PUMA Orbita MFL 1 selaku bola rasmi itu menjadikan Liga Malaysia turut mengikuti jejak langkah dua liga terkemuka dunia iaitu LaLiga di Sepanyol dan Serie A di Itali selain pertandingan EFL termasuk Sky Bet Championship, League One, League Two, Carabao Cup dan Papa John’s Trophy.

Menggabungkan warna ikonik kuning, merah, putih dan biru yang diilhamkan daripada bendera kebangsaan iaitu Jalur Gemilang, PUMA ORBITA MFL 1 menampilkan reka bentuk berani dan rekaan grafik yang menarik dengan warna asas putih.