Pasti ramai perasan apabila bayar petrol menggunakan kad debit, pasti RM200 akan ‘diambil’.
Kemudian jumlah sebenar minyak yang ditolak dan bakinya dipulangkan semula ke dalam akaun bank pengguna.
Baca Juga:
- PMX Umum Harga Petrol Baharu RM1.99 Bermula 30 September

- BUDI95: 3 Langkah Mudah Pengesahan MyKad Di Aplikasi Setel

- Mudah & Lebih Cepat, Pak Cik Shell Tunjuk Cara Pengesahan MyKad Di Terminal Pam Minyak


Langkah itu dibuat oleh pihak bank bagi mengesahkan kad debit pengguna aktif dan mempunyai baki yang mencukupi.
Bagaimanapun Pak Cik Shell kongsikan cara untuk mengelakkan perkara itu terjadi dalam video terbaharunya.
Pilih jumlah pengisian petrol
Menurut Pak Cik Shell, pengguna perlu terlebih dahulu memilih jumlah isian.
Caranya adalah tekan butang ‘Select Amount’ pada paparan skrin, kemudian pilih jumlah isian sama ada RM10, RM40, RM60, RM100 atau isi jumlah lain yang dikehendaki.
Selepas itu sentuh atau masukkan kad debit untuk pembayaran, seterusnya masukkan MyKad untuk pengesahan inisiatif BUDI95.
Pak Cik Shell jelaskan sekiranya pengguna tidak memilih jumlah isian, RM200 akan ditahan pihak bank.

“Kalau kita sentuh kad terus tanpa memilih jumlah isian; bank akan tahan RM200. Bank lepas balik RM200 sepatutnya pada hari yang sama.
“Tapi kadang-kadang ada yang terlambat. Saya kongsi ini supaya yang nak bayar di luar (di pam minyak) tak perlu risau. Terutamanya minggu depan, saya nak elakkan (orang ramai) beratur panjang,” komen beliau.
Cucuk MyKad, dapat RON95 harga BUDI95

Terdahulu Pak Cik Shell kongsikan video di mana beliau membuat ujian pengesahan MyKad pada terminal pam minyak.
Dalam video terbaharu, beliau tunjukkan sendiri bagaimana sistem baharu itu berfungsi di terminal pam minyak untuk digunakan oleh orang ramai kelak.
Difahamkan cuma buat tiga langkah mudah untuk mendapatkan insiatif BUDI95, dan langkah tersebut lebih cepat berbanding membuat pembayaran & pengesahan di kaunter pembayaran.
Pengguna cuma perlu pilih jumlah isian, masukkan MyKad untuk pengesahan BUDI95 dan masukkan kad mata ganjaran BonusLink.
Kemudian pengguna sudah boleh angkat nozel untuk mulakan pengisian minyak petrol seperti biasa.