Pada pagi ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang menggunakan pengesahan MyKad.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan skim subsidi bersasar RON 95 akan menggunakan pelbagai mekanisme pembayaran dan tidak akan bergantung sepenuhnya kepada MyKad fizikal sahaja.

Baca Juga:

Menurutnya, akses subsidi tersebut turut boleh menggunakan aplikasi telefon pintar yang disediakan syarikat minyak, serta pada pam minyak.

Pak Cik Shell tunjuk cara mudah mengesahkan MyKad

Dalam satu hantaran terbaharu Instagram @pakcikshell, beliau menunjukkan cara untuk membuat pengesahan MyKad.

Menerusi video pendek tersebut, selepas menyentuh kad debit atau kad kredit untuk pembayaran, pengguna perlu memasukkan MyKad pada slot mesin terminal untuk pengesahan.

Menurut Pak Cik Shell, pengguna kemudian boleh mengesahkan kad mata ganjaran BonusLink dan terus mengangkat nozel untuk mengisi minyak.

Warganet mengucapkan terima kasih atas perkongsian video tersebut.

Ia sekaligus mengurangkan kebimbangan orang ramai terhadap kesesakan dan perlu beratur panjang sekiranya penebusan subsidi BUDI95 hanya boleh buat di kaunter sahaja seperti video yang tular sebelum ini.

Dalam pada itu warganet mengusulkan cadangan agar BUDI95 juga dapat ditebus menerusi aplikasi Shell kerana lebih menjimatkan masa dan proses pembelian minyak petrol.