Kerajaan telah menangguhkan tarikh pelaksanaan subsidi bersasar RON95 yang pada asalnya dijadualkan bermula pada separuh kedua tahun ini, petik Free Malaysia Today.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, penangguhan itu dibuat kerana lebih banyak masa diperlukan untuk meneliti dan memperkemas mekanisme pelaksanaan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.
Baca Juga:
- ‘Kerajaan Jamin Tak Naik Harga Petrol, Mungkin Kena Tunjuk Kad Pengenalan Untuk Beli RON95’ – Anwar Ibrahim

- Rakyat Indonesia Terkejut RON95 Petrol Subsidi Di Malaysia

- ‘Claim’ Dirinya Orang Malaysia, Pemilik Kereta Singapura Kena ‘Sound’ Isi RON95

Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan perkara ini kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Harapan semasa pertemuan bersama mereka baru-baru ini.
“Perdana Menteri mahu memastikan bahawa majoriti rakyat tidak terkesan secara negatif oleh dasar sedia ada mahupun yang masih belum dilaksanakan.
“Oleh sebab mekanisme masih dalam proses penambahbaikan, maka berlakulah sedikit kelewatan dalam pelaksanaannya,” kata Fahmi dalam satu sidang media.
Memetik laporan itu lagi, pada bulan Jun lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan bahawa kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar RON95 secara berperingkat pada tahun ini, namun tidak memberikan sebarang butiran lanjut.
Pada 1 Julai, Amir berkata kerajaan sedang bekerjasama dengan pengusaha stesen minyak bagi menaik taraf sistem mereka sebagai persediaan kepada pelaksanaan skim rasionalisasi subsidi RON95, bagi memastikan tiada kesesakan atau barisan panjang di pam minyak.