Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan skim subsidi bersasar RON 95 akan menggunakan pelbagai mekanisme pembayaran dan tidak akan bergantung sepenuhnya kepada MyKad fizikal sahaja.

Memetik Bernama, Datuk Armizan berkata orang ramai tidak perlu bimbang akan berdepan kesukaran ketika membeli petrol bersubsidi.

Baca Juga:

Orang ramai boleh mengakses subsidi tersebut dengan lebih mudah dan pantas melalui aplikasi yang disediakan syarikat minyak; Setel (Petronas) dan Shell App (Shell), serta kaedah-kaedah lain.

“Mereka juga boleh membeli bahan api bersubsidi menggunakan terminal pembayaran dalam atau luar bangunan di stesen minyak.

“Walaupun kelayakan akan dihubungkan kepada MyKad, pembelian sebenar tidak bergantung hanya pada satu kaedah pembayaran,” katanya.

Armizan menegaskan bahawa kerajaan telah membuat persiapan rapi sejak awal tahun ini bagi memastikan pelaksanaan skim subsidi petrol bersasar berjalan lancar, yang akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan tidak lama lagi.

“Kami akan pastikan proses ini berjalan dengan baik dan tidak membebankan orang ramai, sekali gus mengelakkan kebimbangan bahawa mereka perlu menunggu dalam barisan yang panjang,” tambahnya.

Dalam pada itu, pada awal pagi ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol baharu yang bakal dinikmati rakyat Malaysia ialah RM1.99 mulai 30 September ini.

Sumber