Pada minggu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan tunai SARA (Sumbangan Asas Rahmah) satu‑kali sebanyak RM100 untuk semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
Bantuan ini akan dikreditkan terus ke MyKad tanpa perlu buat sebarang pendaftaran menerusi aplikasi atau e‑wallet.
Namun bagi individu yang mempunyai MyKad yang rosak, ia akan mengganggu proses penebusan SARA itu nanti.
Jangan risau, MyKad yang bermasalah itu boleh diganti oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam masa singkat.
Langkah mudah ganti MyKad di JPN

1. Individu boleh datang ke mana-mana 210 pejabat JPN di seluruh negara.
2. Bawa sekali kad pengenalan yang rosak. Jika mahu tukar alamat, perlu bawa sekali bil utiliti.
3. Berpakaian kemas untuk menangkap gambar.
4. Sediakan kad debit atau kad kredit kerana bayaran di JPN adalah tanpa tunai.

Menurut Facebook JPN, jika tiada masalah cap jari, rekod atau sistem, kad pengenalan baharu itu boleh siap dalam masa 30 minit sahaja di JPN Ibu Pejabat Negeri/UTC/cawangan ada mesin cetak.
Bagi Pejabat JPN tanpa mesin cetak (Semenanjung) pula mengambil masa 5 hari bekerja.
Sementara Pejabat JPN tanpa mesin cetak (Sabah, Sarawak & Labuan) pula mengambil masa 7 hari bekerja.

Waktu operasi kaunter JPN adalah mengikut negeri.
1. Isnin–Jumaat: 8.00 pg – 4.45 ptg (rehat 1.00–2.00 ptg / 12.15–2.45 ptg Jumaat)
2. Ahad–Khamis: 8.00 pg – 4.45 ptg (rehat 1.00–2.00 ptg)
3. Sabah, Sarawak, Labuan: 8.00 pg – 4.45 ptg (rehat berbeza mengikut negeri)
4. JPN Cawangan UTC: 8.00 pg – 7.00 mlm (hari bekerja), 8.00 pg – 5.00 ptg (hujung minggu)
Maklumat lanjut waktu operasi boleh dirujuk di sini.