Selain Mekah dan Madinah, kita tidak begitu tahu tentang lokasi menarik lain di Arab Saudi. Namun memandangkan tourist visa kini sedang dibuka secara berperingkat oleh kerajaan negara ini, pasti lebih banyak peluang untuk kita menjelajah lokasi rare dan bersejarah.

Baru-baru ini, seorang warga Malaysia yang bekerja di Saudi telah berpeluang berkunjung ke Ha’il. Mahu dikenali sebagai Coke Infy, gadis ini bersama rakan beliau telah berkunjung ke Wilayah Ha’il selama 3 hari.

cara-ke-hail-arab-saudi-2

Menurut Coke, Wilayah Ha’il terkenal dengan 2 perkara – tanah yang sangat subur, dan kemurahan hati penduduknya. Ini mungkin kerana penduduk di sini telah terinspirasi dengan sifat pemurah Hatim Al Ta’i, seorang penyair Arab dari bani Ta’i.

Sepanjang di Ha’il, Coke dan rakannya menggunakan khidmat tour guide yang juga merupakan penduduk tempatan bernama Baba Saud Al Shagdali.

Berikut lokasi yang telah dikunjungi mereka sepanjang lawatan 3 hari tersebut.

Hari 1 : Jubbah

cara-ke-hail-arab-saudi-1

Setiba di lapangan terbang Ha’il, Baba Saud sudah sedia menanti dan membawa mereka ke rumah beliau untuk sarapan dan berehat.

Lepas berehat, mereka terus menuju ke Jubbah yang terletak 90km dari Ha’il, atau lebih tepat  di kawasan Jabal Umm Sinman.

Tarikan utama di Jubbah adalah ukiran purba petroglyphs tinggalan zaman pra sejarah. Ia banyak dijumpai di gunung Umm Sinman (Jabal Umm Sinman). Kesemua ukiran dan lukisan ini dianggarkan berusia antara 2,000-10,000 tahun lalu dan terbahagi kepada beberapa tempoh yang berbeza.

Tempoh terawal adalah 10,000 tahun lepas manakala tempoh seterusnya ialah zaman Thamudic iaitu sekitar 1500-2500 tahun lepas. Mungkin ia sezaman atau dilukis oleh keturunan Thamud di zaman Nabi Saleh a.s.

cara-ke-hail-arab-saudi-3

cara-ke-hail-arab-saudi-4

Bentuk ukiran manusia dan haiwan seperti unta, gajah, kuda, ostrich, oryx, ibex dan juga lukisan manusia sedang berburu dan berperang merupakan ukiran yang dilukis dari zaman ini . Tulisan bangsa Thamud juga boleh dilihat jelas di sini.

Ukiran paling istimewa yang terdapat di sini adalah ‘The King’ yang menunjukkan seorang lelaki yang tinggi (raja) sedang menghukum seorang lelaki yang lebih kecil.

Berdasarkan ukiran alat kelamin pesalah itu yang jelas kelihatan, dikatakan mungkin kerana lelaki itu telah melakukan perkara sumbang dengan pelayan raja.

Kawasan sekitar Jubbah iaitu Jabal Umm Sinman ni merupakan bekas tasik purba zaman neolitik. Ini boleh dilihat dari pasirnya yang lebih halus dari pasir biasa yang terdapat di padang pasir.

Ukiran purba di sini juga telah dimasukkan ke dalam UNESCO World Heritage List.

Hari 2: Faid, Kawah Gunung Hutaymah, dan Gua Janin

cara-ke-hail-arab-saudi-13

cara-ke-hail-arab-saudi-14

cara-ke-hail-arab-saudi-15 cara-ke-hail-arab-saudi-18

Pada hari ke 2 Coke dan rakan telah dibawa ke kota lama Faid, yang diberi nama sempena Faid Bin Ham bin Nuh/Noah. Faid bermaksud kebaikan dalam bahasa Arab.

Dibina pada zaman Khalifah Abbasiyah sekitar 1200 dahulu, antara binaan yang terdapat di sini adalah masjid, istana Kharash dan kolam berbentuk oktagon. Dinding kota pula dibina menggunakan batu batuan dari gunung berapi.

cara-ke-hail-arab-saudi-9

cara-ke-hail-arab-saudi-10

“Lepas tu kami menuju ke tempat yang saya rasa paling istimewa sekali dalam trip ni iaitu kawah gunung berapi  Al Hutaymah. Untuk sampai ke sini, kami merentasi padang rumput rata yang seluas mata memandang” – Coke.

Mereka juga terserempak dengan beberapa pengembala unta dan kambing sebelum tiba di pinggir kawah gunung berapi tersebut.

Apa yang menjadikan kawasan ini istimewa adalah pemandangan indah yang terhidang. “Pemandangan di sini tersangatlah cantik sampai tak terkata rasanya. Dalam kawah tu ada tasik kecil dan sekelilingnya ada mendapan garam dan dikelilingi oleh rumput pendek-pendek. Memandangkan cuma kami je yang ada di situ, kami menghabiskan masa dengan bergambar dan lepak di puncak walaupun angin sangat kuat dan cuaca juga sejuk sebab tengah musim sejuk” – Coke.

cara-ke-hail-arab-saudi-11

cara-ke-hail-arab-saudi-12

Destinasi ke 2 mereka adalah Janin Cave (Gua Jin) yang berkedalaman 100m dan dipenuhi dengan inskripsi Thamudic dan Abyssinian purba.

Perkara menarik di sini dalah ukiran gambar tapak tangan yang banyak. Ujar Coke lagi, “nak panjat gua ni kena fit sikit la sebab laluan masuk agak curam dan kena mendaki.”

Di bahagian luar gua juga terbanyak banyak batu-batu yang dipenuhi ukiran-ukiran yang sangat jelas walaupun sudah berusia ribuan tahun.

Hari 3: Free and easy

Disebabkan ini adalah hari terakhir, mereka dibawa ke pasar untuk melihat produk tempatan yang diusahakan oleh penduduk di sini. Kemudian Baba Saud telah membawa mereka ke ladang menternak lebah madu milik beliau.

Tapi sesuatu yang tak disangka ialah selepas itu. Baba Saud membawa mereka ke satu kawasan berbukit tak jauh dari ladang beliau.

“Rupanya baba Saud telah menemui petroglyphs yang baru dan belum lagi diketahui oleh sesiapa. Kata baba Saud, hari bekerja nanti dia nak pergi ke pejabat Saudi Tourism untuk beritahu penemuan itu dan dia akan mendapat imbuhan oleh kerajaan” – Coke.

cara-ke-hail-arab-saudi-5

cara-ke-hail-arab-saudi-6

Dari pemerhatian mereka, batu-batu di situ juga dipenuhi dengan ukiran haiwan, manusia dan tapak tangan sepertimana di tempat-tempat bersejarah lain di Arab Saudi.

Coke juga sempat berpesan, bagi anda yang mahu ke tempat bersejarah di Arab Saudi, cara terbaik adalah dengan mendapatkan tour guide dari kalangan penduduk tempatan.

Ini disebabkan ada di antara lokasi menarik dan rare hanya diketahui oleh penduduk di situ, dan tersorok di celah antara bukit. ” Contohnya macam ukiran ‘the king’ di Jubbah, rupanya nak lihat ukiran tu kena panjat batu curam dan kita tak sangka ukiran tu ada kat situ. Kalau pergi sendiri memang susah nak jumpa.

cara-ke-hail-arab-saudi-7

cara-ke-hail-arab-saudi-8

Bagi yang berminat untuk ke Ha’il, anda boleh dapatkan nombor Baba Saud dari Coke Infy di Instagram beliau.

Ujar Coke lagi, “Baba Saud Al Shagdali sangat bersemangat melayan pengunjung yang datang ke Ha’il dan beliau seorang yang sangat-sangat murah hati. Saya memang rekomen sesiapa nak ke Ha’il untuk guna servis tour guide Baba Saud.”

Bila tourist visa Saudi dah dibuka sepenuhnya nanti, bolehlah anda yang berada di Timur Tengah berkunjung ke Ha’il selain dan tempat-tempat menarik yang lain di negara ini.

Tambahan pula sehingga kini masih banyak lokasi bersejarah di Arab Saudi yang rare dan tidak begitu dikunjungi pelancong.

Selain dari ke Ha’il, Coke juga pernah berkongsi pengalaman beliau sewaktu melawat ke Lokasi Di Saudi Pernah Dilaknat Tuhan Yang Menyimpan Seribu Keindahan