Senegal secara rasmi dikekalkan sebagai juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membatalkan keputusan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) yang sebelum ini memberikan kejuaraan kepada Maghribi.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga pakar undang-undang CAS sebulat suara menerima rayuan Persatuan Bola Sepak Senegal (FSF) dan memutuskan keputusan asal perlawanan akhir perlu dikekalkan.

Persoalan utama yang menjadi asas keputusan CAS ialah tindakan pengadil meneruskan perlawanan selepas pemain Senegal meninggalkan padang selama kira-kira 15 minit sebagai tanda protes terhadap keputusan penalti yang diberikan kepada Maghribi.

Pengarah Agung CAS, Matthieu Reeb menjelaskan bahawa keputusan pengadil untuk menyambung perlawanan pada minit ke-109 merupakan faktor penting yang menentukan kes tersebut.

Menurut Reeb, “Apabila pengadil meniup wisel untuk menyambung perlawanan pada minit ke-109, beliau menganggap bahawa segala syarat untuk meneruskan perlawanan sudah dipenuhi.”

Beliau turut menjelaskan bahawa kedua-dua pasukan sudah kembali ke padang dan menyatakan kesediaan untuk meneruskan perlawanan.

“Kedua-dua pasukan sudah kembali berada di atas padang dan kedua-duanya menyatakan kesediaan untuk menyambung perlawanan.”

CAS berpendapat keputusan pengadil Jean-Jacques Ndala dari Republik Demokratik Congo untuk menyambung perlawanan berada sepenuhnya dalam bidang kuasanya.

Malah, Reeb menegaskan bahawa peraturan CAF yang boleh menyebabkan Senegal diberikan kekalahan percuma hanya akan terpakai sekiranya pengadil meniup wisel penamat dan memutuskan perlawanan tidak boleh diteruskan.

“Peraturan CAF (peraturan AFCON) hanya akan terpakai sekiranya pengadil meniup wisel penamat, yang akan menyebabkan Senegal diberikan kekalahan percuma. Namun, perkara itu tidak berlaku.”

Inilah asas utama mengapa CAS menolak keputusan CAF yang sebelum ini memberikan kemenangan 3-0 kepada Maghribi.

CAS menggunakan prinsip undang-undang sukan dikenali sebagai Field of Play Doctrine. Prinsip ini menetapkan bahawa keputusan yang dibuat pengadil ketika perlawanan berlangsung berada dalam bidang kuasa pegawai perlawanan dan tidak boleh sewenang-wenangnya diubah oleh badan kehakiman sukan.

Dalam kes ini, panel CAS berpendapat keputusan pengadil untuk meneruskan perlawanan selepas kedua-dua pasukan kembali ke padang perlu dihormati.

Sebelum ini, CAF menerima rayuan Persatuan Bola Sepak Maghribi (FRMF) dan membatalkan kemenangan 1-0 Senegal pada Mac lalu, sebaliknya memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Maghribi.

Bagaimanapun, CAS kini mengetepikan keputusan badan rayuan CAF itu dan mengembalikan keputusan asal setelah rayuan daripada Senegal diterima CAS.

Untuk rekod, perlawanan akhir berlangsung di Rabat pada 18 Januari 2026. Selepas pemain Senegal kembali ke padang, Brahim Diaz gagal menyempurnakan sepakan penalti menerusi percubaan Panenka sebelum Senegal menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.

Maghribi bagaimanapun tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan mengumumkan akan meneruskan segala saluran perundangan yang tersedia untuk mencabarnya.