Seorang pakar keselamatan jalan raya menggesa polis meningkatkan penguatkuasaan di sepanjang laluan Genting Highlands, sambil menegaskan bahawa langkah itu masih merupakan cara paling berkesan untuk mencegah pemanduan laju dan kemalangan di jalan yang curam dan berliku itu.
Pengerusi Malaysian Institute of Road Safety Research (Miros), Wong Shaw Voon, berkata kempen pendidikan dan penambahbaikan kejuruteraan jalan raya selalunya mengambil masa lebih lama untuk menunjukkan hasil, petik Free Malaysia Today.
Beliau berkata penguatkuasaan yang berkesan mesti bersifat “pasti, cepat dan tegas”, iaitu pemandu perlu yakin mereka akan ditangkap, menerima saman dengan segera, dan dikenakan hukuman jika melanggar peraturan jalan raya.
“Pendidikan memerlukan masa. Bila kita beritahu orang berulang kali — ‘tolong faham, ini berbahaya’ — ada yang berubah serta-merta, ada yang ambil masa, dan ada yang langsung tak ambil peduli,” katanya kepada FMT.
“Dalam satu segi, ia juga mendidik pemandu kerana mereka ‘membayar harga’. Bukan semestinya dengan membunuh atau terbunuh, tetapi melalui hukuman yang memaksa mereka mengubah tingkah laku — dalam kes ini, pemanduan laju,” katanya.
Kenyataan Wong itu dibuat susulan kemalangan di KM13.4 Jalan Genting Highlands selepas tengah malam pada 5 Oktober, apabila seorang pemandu berusia 24 tahun hilang kawalan kereta, terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya di Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua, berkata selain meningkatkan aktiviti penguatkuasaan tradisional, polis juga boleh memantau kumpulan di media sosial yang mempromosikan pemanduan berbahaya demi keseronokan.
“Dengan data yang sepadan dengan statistik kemalangan jalan raya dan corak trafik, aktiviti penguatkuasaan boleh diprioritikan dengan lebih berkesan di kawasan kritikal,” kata Law kepada FMT.