Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi berharap tiada kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super menarik diri pada pertengahan musim.
Harapan itu dinyatakan oleh Giorgio selepas beberapa pasukan menghadapi isu tunggakan gaji seperti Kedah Darul Aman, Kuala Lumpur City dan Perak.
Baca Juga:
- MFL Lulus Permohonan Selangor Pinda Jadual Liga Super
- RASMI: Bekas Delegasi LaLiga Dilantik Sebagai CEO MFL
- MFL Umum Harga Tiket Final Piala FA 2024-2025
Menurutnya, menarik diri daripada bertanding bukanlah jalan penyelesaian yang bagus bagi mana-mana pasukan.
“Memang ada isu membabitkan beberapa kelab. Sekarang, jika anda kata ada perlumbaan babitkan kelab untuk menarik diri pada pertengahan musim, buat masa ini (kita berharap) itu tidak berlaku. Kita menolaknya.
“Saya percaya tindakan menghukum pasukan termasuk membayar denda, itu bukan solusi kepada masalah. Itu cuma proses sebahagian daripada peraturan.
“Jadi, anda perlu mengikut beberapa langkah dan jika anda tidak mengikutnya, anda dikenakan penalti. Tetapi itu tidak akan menjadi solusi kepada seluruh proses sebelumnya,” katanya.
Ekoran diboikot oleh kebanyakan pemain dalam skuad utama kerana tidak mendapat gaji, Kedah terpaksa menurunkan pemain muda ketika mereka bertemu KL City minggu lalu yang mana mereka tewas dengan keputusan 5-0.
Baru-baru ini, Machan FC sah menarik diri dari saingan Liga A1 Semi Pro ekoran kos penerbangan yang semakin meningkat sekaligus menadi beban bagi kelab itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab di laman media sosial baru-baru ini, kelab itu sudah tidak mampu untuk menanggung kos penerbangan yang semakin meningkat khususnya bagi menghadapi perlawanan di tempat lawan.
“Seperti semua sedia maklum, kami telah bergerak menggunakan dana sendiri sepanjang Liga A1 Semi Pro berlangsung. Kita juga telah mencuba untuk memohon dana daripada kementerian belia dan sukan Sarawak namun kita akur dengan jawapan menteri yang bajet kementerian tidak merangkumi penajaan untuk kelab-kelab Liga A1 yang dilihat sebagai Semi Pro.
“Setelah 12 perlawanan dan hampir 6 bulan Pasukan Machan bersaing dalam Liga A1 Semi Pro, pihak pengurusan kelab telah berbelanja hampir Rm 800 ribu duit sendiri dimana kos untuk pengangkutan sahaja, satu kali perlawanan di tempat lawan mencecah Rm 35 ribu sekaligus membebankan perjalanan kelab.