Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) persatuan bola sepak di sebuah negeri di utara tanah air antara empat individu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta serta menerima rasuah lebih RM6 juta.
Menurut laporan Buletin TV3, keempat-empat suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 60 tahun itu telah ditahan sekitar jam 5.00 hingga 6.30 petang semalam ketika hadir ke Pejabat SPRM Kedah bagi dirakamkan keterangan.

Baca Juga:
- Bekas Setiausaha Politik MB Kedah Didakwa Rasuah Berjumlah RM400,000
- Didakwa Berkait Isu Rasuah, Restoran Berputar Atmosphere 360 Di Menara KL Diarah Tutup Premis
- Anwar Ibrahim Bangga Tiada Pimpinan Kerajaan Amal Rasuah, Salah Guna Kuasa Di Bawah Pentadbirannya
Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 7 Januari depan turut dikeluarkan terhadap keempat-empat suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.
CEO persatuan bola sepak antara 4 direman, terima rasuah lebih RM6 juta https://t.co/kdfTKPGtGo
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 5, 2024
Malah, wang rasuah tersebut dilaporkan telah dimasukkan dalam akaun sebuah Persatuan Bola Sepak sebagai balasan membantu mendapatkan tender projek pembinaan.
“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, wang lebih RM6 juta berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak.”
“Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik sebuah syarikat untuk mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di sebuah negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap keempat-empat suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009.
20 tahun lalu, arena sukan Malaysia pernah digemparkan dengan skandal rasuah dalam bola sepak. Seramai lebih 100 pemain dan pegawai pasukan didapati bersalah terlibat dengan skandal tidak bermoral itu.