Tentera Amerika Syarikat yang didakwa meletupkan sebuah Tesla di luar Hotel Trump di Las Vegas baru-baru ini didakwa merancang serangan menggunakan aplikasi ChatGPT lapor agensi Agensi Anadolu (AA) memetik Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas.
Syerif Kevin McMahill, dalam satu sidang media mendedahkan bahawa anggota tentera berkenaan, dikenali sebagai Matthew Livelsberger, 37, dari Colorado menggunakan chatbot kecerdasan buatan generatif itu untuk mengumpul maklumat bagi merangka rancangan serangan terbabit.
Dalam pada itu, Penolong Syerif Dori Koren berkata suspek menggunakan ChatGPT untuk mengetahui jumlah bahan letupan yang diperlukan untuk operasi itu, menyelidik potensi letupan serta lokasi pembelian.
Ketika ditanya sama ada penggunaan ChatGPT oleh Livelsberger membimbangkan, McMahill beri respon yang mana sudah menjangkakan bahawa AI akan mengubah keadaan dalam kehidupan kita sama ada cepat atau lambat sahaja.
“Saya rasa ini adalah kes pertama di AS di mana ChatGPT digunakan untuk membantu seseorang membina peranti tertentu, serta mengakses maklumat di seluruh negara semasa mereka melaksanakan rancangan ini.
“Ia adalah detik yang membimbangkan tetapi juga memberi pengajaran untuk dikongsi bersama penguat kuasa undang-undang dan entiti lain di seluruh negara,” katanya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak berkongsi pula keputusan khusus yang diperoleh menggunakan ChatGPT berkaitan bahan letupan atau senjata api.
Tetapi, mereka berjaya menjumpai dokumen enam muka surat, yang digambarkan sebagai ‘manifesto’, semasa melakukan analisis forensik digital telefon Livelsberger.
“Dokumen itu mengandungi pelbagai rungutan dan evolusi rancangan atau niatnya. Terdapat rujukan kepada isu politik, sosial dan budaya, termasuk kritikan terhadap pentadbiran semasa.
“Maklumat baharu ini menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.
“Saya tidak akan memberikan pendapat mengenai apa yang dimaksudkan oleh dokumen itu dan kami juga tidak akan mendedahkan maklumat atau dokumen yang belum disahkan sepenuhnya oleh penyiasat bersama kami,” kata Koren.
Sementara OpenAI sebagai pembangun ChatGPT masih belum mengulas mengenai penggunaannya dalam merancang letupan itu.