Aksi bertenaga ditampilkan pada babak pertama sudah cukup untuk membantu Chelsea menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA 2025 selepas membenam cabaran Paris Saint-Germain (PSG) 3-0 pada aksi final yang berlangsung di MetLife Stadium, New Jersey sebentar tadi.

Kejayaan manis itu sekali gus turut menepis ramalan awal yang mengatakan wakil England tersebut bakal menjadi mangsa belasahan PSG.

Sebaliknya, tekanan tinggi yang dijelmakan Chelsea nyata membuatkan anak-anak buah Luis Enrique hilang punca terutamanya pada babak pertama.

Reputasi hebat lawan tidak dihiraukan The Blues yang memulakan aksi dengan cukup baik yang menyaksikan mereka hampir dihadapan seawal minit kelapan.

Chelsea
Pesta di New Jersey. Kredit Foto: JUAN MABROMATA / AFP

Berpunca daripada satu gerakan cantik di sebelah kanan pintu gol PSG, Cole Palmer melakukan percubaan ‘placing’ yang hanya sedikit tersasar.

Kehampaan itu ditebus Palmer pada minit ke-22 selepas percubaan leretnya hasil umpanan Malo Gusto tidak mampu diselamatkan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma untuk membolehkan Chelsea membuka tirai jaringan.

Hanya berselang lapan minit kemudian, Palmer sekali lagi membuktikan kemampuan hebat beliau dengan gerakan solo yang disudahkan dengan tenang sama seperti jaringan pertamanya setelah mendapat hantaran jauh Levi Colwill.

Tiada jawapan dengan aksi ditampilkan Chelsea, juara UEFA Champions League itu sekali lagi tergamam dengan jaringan ketiga yang dihasilkan Joao Pedro pada minit ke-43.

Berpunca daripada satu serangan balas pantas dimulakan Palmer, beliau kemudiannya melakukan umpanan cantik bagi membolehkan Pedro menguis masuk bola menewaskan Donnarumma bagi mengukuhkan lagi kedudukan.

Chelsea Cukup Berdisiplin

Penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez selepas itu menjadi watak penting buat pasukannya dalam menggagalkan usaha keras PSG.

Sanchez bertindak cemerlang dalam menafikan tandukan Joao Neves dalam kawasan penalti pada masa kecederaan babak pertama.

Chelsea
Jaringan yang dihasilkan Joao Pedro. Kredit Foto: CHARLY TRIBALLEAU / AFP

Aksi cemerlang itu diteruskan Sanchez pada babak kedua dalam menggagalkan percubaan berbahaya dari Ousmane Dembele dan Vitinha.

Kemasukan Liam Delap yang menggantikan Pedro dilihat memberikan impak dimana beliau mendapat dua peluang untuk menambah jaringan.

Namun, percubaan jarak jauh dan tolakan leret dalam kawasan penalti berjaya diselamatkan Donnarumma pada minit ke-68 dan ke-80.

Memasuki minit ke-85, PSG terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Neves dilayangkan kad merah kerana menarik rambut Marc Cucurella ketika pasukannya sedang mengasak kubu Chelsea.

Keputusan tiga gol tanpa balas itu kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan juara Piala Dunia FIFA 2025 menjadi milik Chelsea.