Gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan rentak cemerlang dalam kejohanan badminton China Masters 2025 apabila berjaya melangkah ke pentas final.
Pasangan yang merupakan juara dunia beregu campuran itu tampil dengan cukup bertenaga untuk menewaskan jaguh tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam aksi tiga set.
Berdepan lawan yang memiliki kemampuan hebat serta mendapat sorakan padu penyokong sendiri di Shenzen Arena langsung tidak merentap semangat juang Tang Jie dan Ee Wei.
Pasangan ranking ketiga itu menyerap tekanan dengan baik tetapi kelebihan 19-14 dimiliki gagal disudahkan dengan baik hingga menyebabkan mereka tewas 22-24.
Skrip sama berlaku pada set kedua apabila drama saling kejar-mengejar mata dapat disaksikan yang akhirnya dimenangi Tang Jie-Ee Wei dengan 21-19 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Momentum positif itu diteruskan Tang Jie-Ee Wei yang semakin bersemangat untuk memastikan slot ke final menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-17 walaupun cuba dikejar ketika sudah jauh mendahului lawan.
Kemenangan bermakna itu juga sekali gus telah menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ke atas pasangan ranking pertama dunia tersebut.
Menanti mereka di pentas final esok ialah gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang menundukkan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 22-20.
Satu lagi cabaran Malaysia selepas ini disandarkan kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan berhadapan dengan wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty kira-kira jam 7.00 malam nanti.