Pengerusi dan Presiden Chery, Yin Tongyue, tampil memohon maaf secara terbuka berhubung isu kualiti kenderaan syarikat itu di Malaysia selepas insiden gandar belakang Chery Omoda 5 tercabut ketika dipandu di Johor Bahru.
Menurut laporan Paultan.org, Yin mengakui masalah kualiti produk Chery di Malaysia ketika berucap pada Persidangan Kenderaan Pintar Terhubung Sedunia (WICV) pada 21 Oktober lalu.
Beliau turut mendedahkan bahawa dirinya telah memohon maaf secara peribadi kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia pada hari yang sama.
Yin berkata Chery mengambil tanggungjawab segera terhadap pelanggan susulan insiden berkenaan.
Chery’s Omoda 5 axle failure in Malaysia prompted a registration suspension and an 8,878-vehicle recall, as its chairman apologised over quality concerns.
— CarNewsChina.com (@CarNewsChina) October 23, 2026
Beliau turut menegaskan bahawa pengembangan perniagaan ke pasaran antarabangsa bukan sekadar untuk meraih keuntungan pantas, sebaliknya membina kehadiran tempatan yang kukuh dan mampan.
“Kami bukan ke luar negara untuk meraih keuntungan segera, tetapi untuk bertapak dan membangunkan pasaran ini bagi jangka panjang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa syarikat perlu menghormati undang-undang, peraturan serta amalan perniagaan tempatan. Tanpa persediaan rapi, usaha mengembangkan perniagaan ke luar negara boleh bertukar menjadi kegagalan yang merugikan.
Isu ini kembali menjadi perhatian selepas sebuah Chery Omoda 5 dilaporkan mengalami insiden gandar belakang dan kedua-dua roda belakang terpisah daripada kenderaan ketika berada di Johor Bahru pada 6 Oktober lalu.
Susulan kejadian itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara kelulusan jenis kenderaan (VTA) bagi model berkenaan dan menghentikan pendaftaran baharu sementara siasatan teknikal dijalankan.
Chery Malaysia Panggil Semula OMODA 5 Varian C & H, Pemeriksaan Dan Penggantian Komponen Percuma
Chery Malaysia kemudiannya mengumumkan kempen panggil balik yang melibatkan 8,878 unit Omoda 5 varian C dan H. Pemeriksaan serta penggantian komponen yang terjejas akan dilakukan secara percuma jika diperlukan.
Ini bukan kali pertama isu gandar belakang Omoda 5 mencetuskan kebimbangan di Malaysia. Pada 2024, Chery turut memanggil balik 600 unit model berkenaan susulan insiden berkaitan komponen sama.
Bagaimanapun, hasil siasatan teknikal terkini masih dinantikan bagi menentukan punca sebenar kejadian terbaharu itu serta langkah susulan yang perlu diambil.