Pada awal bulan lalu, Chery Malaysia mengumumkan tiga atlet negara yang membawa pulang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 akan diberikan sebuah kereta baharu.

Mereka adalah Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang memenangai acara sukan badminton.

Baca Juga:

Semalam, satu acara penyampaian kereta Tiggo 7 Pro telah dibuat oleh Chery Malaysia kepada atlet-atlet tersebut.

Bagi Soh Wooi Yik beliau memilih untuk menghadiahkan SUV tersebut kepada ayahnya.

Memetik Harian Metro, sebelum ini beliau tidak pernah memberikan hadiah lebih besar kepada keluarganya.

“Saya rasa akan memberikan kereta ini kepada ayah saya sebagai tanda penghargaan saya kepada keluarga yang telah menjaga saya dengan baik selama ini.

“Tanpa mereka, saya tidak akan mampu berjaya sehingga ke pentas Olimpik ini.

“Ini kali pertama dalam hidup saya hendak berikan hadiah kereta kepada ayah saya dan ia paling besar saya pernah beri kepada mereka kerana sebelum ini saya hanya berikan beg dan dompet sahaja.

“Sebelum ini ayah saya ada bertanya tentang kereta ini, tetapi saya belum beritahu dia kerana saya mahu memberi kejutan kepada dia,” katanya.

Terdahulu, pasangan beregu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa selepas menundukkan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut hadir bagi menyempurnakan acara penyampaian hadiah kereta kepada atlet-atlet negara itu.