Walaupun negara China masih berdepan dengan pandemik COVID-19, ia bukanlah satu penghalang bagi negara itu meneruskan penghasilan prototaip terbaru kereta api laju atau magnetic levitation (singkatannya Maglev).
Pada 13 Januari yang lalu, China telah mendedahkan prototaip kereta api Maglev berkelajuan tinggi baru yang mampu mencapai kelajuan 620 kilometer sejam kepada pihak media di ibu kota Chengdu, daerah Sichuan.
Menurut Profesor He Chuan (Naib Presiden Universiti Jiaotong Barat Daya) yang turut serta dalam pembangunan prototaip kereta api ini memberitahu wartawan bahawa kereta api itu dijangkakan boleh beroperasi dalam tempoh 3 ke 10 tahun.
Para penyelidik universiti terbabit telah membina sebuah landasan kereta api sepanjang 165 meter untuk menunjukkan bagaimana rupa bentuk dan merasai sendiri perjalanan di dalam kereta api tersebut
Kereta api ini menggunakan landasan magnet kuasa superkonduktor suhu tinggi (high-temperature superconducting atau HTS) yang membuat seolah-olah kereta api ini terapung di sepanjang landasan magnet.
“Daerah Sichuan kaya dengan sumber daya nadir bumi yang sangat bermanfaat untuk pembinaan landasan magnet kekal ini, sekaligus ia mendorong pengembangan eksperimen dengan lebih cepat lagi,” kata Profesor He Chuan.
China optimistik untuk peningkatan infrastruktur jauh lebih baik menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022. Landasan HTS baru ini akan menghubungkan Beijing dengan Zhangjiakou, bandar tuan rumah sukan olimpik nanti dan ia mampu mengurangkan masa perjalanan dari 3 jam menjadi 47 minit.
Sebelum ini China pernah menghasilkan Maglev pertama pada tahun 2003 dengan kelajuan maksimum 268 kilometer sejam. Landasan kereta api ini menghubungkan Lapangan Terbang Shanghai Pudong dan Jalan Longyang di sebelah timur Shanghai.
Pembinaan bukan sahaja bakal memberikan manfaat semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk nanti, tetapi ia juga akan memberikan manfaat kepada lebih 21.5 juta penduduk di Beijing untuk bergerak ke kawasan yang berhampiran pada masa akan datang.
Pada tahun lalu negara Jepun menawarkan tiket kereta api laju dengan separuh harga untuk menjimatkan perbelanjaan pengguna. Klik pautan di bawah untuk baca lebih lanjut.
Tiket Kereta Api Laju Jepun ‘Shinkansen’ Ditawar Dengan Separuh Harga Sehingga Tahun Depan
Pelancong Indonesia Mahu Bergambar Didakwa Punca Kereta Api Laju Di Jepun Lewat 10 Minit