FIFA dan China akhirnya berjaya memeterai perjanjian penting bersama penyiar di China untuk hak siaran Piala Dunia 2026 yang akan datang.
Sebelum ini, hak penyiaran Piala Dunia di China agak tidak menentu. Berikutan tiada penyiar rasmi yang mendapatkan hak penyiaran di negara itu.
Jadi, kejayaan memuktanadkan perjanjian dengan penyiaran di China ini dianggap satu langkah yang dilihat sebagai usaha memastikan kejohanan bola sepak terbesar dunia itu terus mempunyai capaian global walaupun di pasaran yang mencabar di negara tersebut.
Menurut laporan, China Media Group (CCTV) telah bersetuju untuk mendapatkan hak siaran Piala Dunia 2026 dengan nilai sekitar $60 juta (lebih kurang RM280 juta).
Perjanjian ini dianggap lebih rendah daripada jangkaan awal FIFA yang sebelum ini dilaporkan berharap memperoleh nilai lebih tinggi daripada pasaran China. Namun angka itu tidak didedahkan.
China merupakan antara pasaran penonton bola sepak terbesar di dunia, namun beberapa faktor telah memberi kesan kepada nilai hak siaran kali ini.
Antaranya termasuk kegagalan China untuk layak ke Piala Dunia 2026 serta perbezaan waktu siaran yang berlangsung di Amerika Utara, menyebabkan kebanyakan perlawanan ditayangkan pada waktu lewat malam atau awal pagi di China.
Situasi ini menjadikan potensi penonton dan nilai komersial siaran lebih rendah berbanding edisi-edisi terdahulu, sekali gus memberi tekanan kepada FIFA dalam rundingan hak penyiaran dengan negara itu.
Walaupun begitu, perjanjian ini tetap dianggap penting bagi FIFA kerana ia memastikan Piala Dunia kekal boleh ditonton secara rasmi di salah satu pasaran paling besar di dunia, selain mengelakkan risiko ketiadaan penyiar utama di rantau tersebut.