Seorang bekas pegawai kanan dari Inner Mongolia, China, telah dihukum mati atas kesalahan rasuah yang melibatkan jumlah yang tinggi iaitu sebanyak RMB3 bilion (RM1.83 bilion), lapor Bloomberg.

Hukuman ini menjadi antara kes langka hukuman mati yang dijatuhkan dalam kempen anti-rasuah Presiden Xi Jinping.

Li Jianping, bekas ketua parti di zon pembangunan ekonomi di bandar Hohhot, dijatuhkan hukuman mati pada September 2022 atas tuduhan menerima rasuah, menyalahgunakan dana awam, dan berkomplot dengan sindiket jenayah.

Li, yang berusia 64 tahun, kehilangan rayuannya pada Ogos tahun ini sebelum hukuman tersebut disahkan oleh Mahkamah Agung China.

Menurut agensi berita rasmi Xinhua, Li diberi peluang untuk bertemu keluarganya sebelum hukuman mati dilaksanakan pada hari Selasa.

Hukuman mati bagi kes rasuah di China dianggap jarang berlaku.

Biasanya, pegawai yang bersalah akan menerima hukuman mati dengan penangguhan dua tahun, yang kemudiannya boleh ditukar kepada penjara seumur hidup jika berkelakuan baik.

Namun bagi pemerhati, kes Li Jianping ini adalah contoh tegas kempen anti-rasuah Xi Jinping yang tidak mahu berkompromi dengan kesalahan yang serius ini.

Kempen ini telah menyaksikan jumlah pegawai kanan yang terjerat mencapai rekod tertinggi untuk dua tahun berturut-turut.

Selain rasuah di kalangan pegawai kerajaan, Xi turut meluaskan pembersihan kepada institusi ketenteraan, dengan beberapa jeneral dan pegawai tinggi turut disiasat.

Salah seorang tokoh terbaru yang terlibat ialah Miao Hua, seorang penyokong setia Xi dan ahli Suruhanjaya Ketenteraan Pusat.

Kempen anti-rasuah ini, yang dianggap sebagai antara langkah paling menyeluruh dalam sejarah Parti Komunis China, memberi isyarat bahawa tiada individu, termasuk yang berada di kedudukan tinggi, terkecuali daripada tindakan tegas pihak berkuasa.