Media China tidak mahu pengadil Arab diberikan tugasan untuk mengendalikan perlawanan terutama aksi kelayakan Piala Dunia 2026 yang sedang berlangsung ketika ini.
Pengadil Arab banyak mendapat sorotan baru-baru ini selepas Ahmed Al-Kaf bertindak memberikan kelebihan kepada Bahrain sehingga pasukan itu boleh mencatat keputusan seri 2-2 ketika menentang Indonesia baru-baru ini.
Baca Juga:
- Ini Respon PSSI Terhadap Permintaan Bahrain
- ‘Pilih Kasih’ – AFC Sedia Pertimbang Permintaan Bahrain
- Kerap Timbulkan Kontroversi, Ramai Menyampah Dengan Bahrain Yang ‘Play Victim’
Tindakan Al-Kaf nyata membangkitkan kemarahan peminat dari negara jiran dimana beliau menjadi sasaran kritikan dan pasukan Bahrain juga tidak terkecuali dalam terkena tempias.
Melihat kepada insiden yang berlaku, media di China mahu badan bola sepak negara itu menulis surat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan memohon agar pengadil yang mengendalikan perlawanan tidak berasal dari negara Arab.
“AFC belum memutuskan siapa pengadil yang akan mengendalikan perlawanan menentang Bahrain di laman lawan. Namun, FA China perlu berusaha untuk tidak membenarkan pengadil dari Arab mengendalikan perlawanan.
“AFC hampir didominasi oleh pengadil dari negara Arab. Bahrain ketika ini menjadi pasukan yang mendapat banyak kelebihan, terutama ketika mereka menewaskan Australia dan seri dengan Indonesia,” dipetik dari laporan.
FA Bahrain menghantar permohonan kepada AFC agar perlawanan menentang Indonesia pada Mac tahun hadapan diadakan di venue berkecuali kerana mereka risau tentang keselamatan pemain, pegawai pasukan serta peminat selepas diserang secara bertubi-tubi oleh warga Indonesia.
Akan tetapi, PSSI kemudiannya memberi jaminan bahawa keselematan delegasi Bahrain terjamin dan perlawanan sepatutnya kekal berlangsung di Jakarta.
“Pertama kita akan hantar surat ke AFC yang menyatakan mahu perlawanan tersebut kekal berlangsung di Jakarta, kerana sebelum ini kami beraksi di ibu kota Bahrain.
“Kedua, kita akan memastikan keselamatan dan keselesaan tetamu kita iaitu Bahrain kerana kita sebagai rakyat Indonesia adalah bangsa yang ramah terhadap tetamu.
“Kemudian mengenai apa yang berlaku di media sosial, rakyat negara ini kadang-kadang banyak komen tetapi mereka sebenarnya baik. Kita memang terkenal sebagai bangsa yang ramah. Kita sudah membuktikan ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia B-17 Tahun yang mana kejohanan itu berlangsung dengan sempurna,” kata Exco PSSI iaitu Arya Sinulingga.