Pada Oktober tahun lalu, media sosial digemparkan dengan berita Sufian Suhaimi merisik wanita pilihan untuk dijadikan isteri dalam satu majlis tertutup.
Bagaimanapun rancangannya untuk ‘membina masjid’ tidak kesampaian apabila beliau dilaporkan sudah putus hubungan dengan wanita dikenali sebagai Rania Al Sadat pada minggu kedua Ramadan baru-baru ini.
Baca Juga:
- Baru Sahaja Bertunang, Sufian Suhaimi ‘Sound’ Individu Tuduh Bakal Abang Ipar Berhutang RM12,000
- Bakal Tamatkan Zaman Bujang, Sufian Suhaimi Hantar Rombongan Merisik?
- Lagu Raya Dendangan Dr. Adham Baba Dan Sufian Suhaimi Pada 2017 Kembali Tular
Menurut Sufian, 32, cincin risik kedua belah pihak sudah dipulangkan pada minggu kedua Ramadan, selain menegaskan hubungan mereka masih dalam keadaan baik sehingga hari ini, petik Kosmo.
“Hubungan kami masih baik cuma hubungan ‘merisik’ itu sudah tiada. Cincin risik sudah dipulangkan pada minggu kedua Ramadan.
“Masing-masing menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka tanpa ada rasa dendam. Hakikatnya selepas keputusan tersebut dibuat, kami masih berjumpa dan berbual.
“Lepas pulangkan cincin, kami pilih untuk saling menghormati ruang masing-masing,” terang beliau selepas majlis buka puasa Rusa Music dan MVM.
Tambah beliau lagi, perpisahan tersebut berlaku atas sebab tidak sehaluan selepas membincangkan banyak perkara termasuk perihal kehidupan.
“Ini adalah keputusan bersama, tiada sebarang pergaduhan mahupun sebab orang ketiga.
“Kalau nak diikutkan, kami merancang untuk nikah pada tahun lepas. Banyak yang kami bincangkan termasuk pernikahan bukan satu perkara yang perlu dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.
“Apabila semakin dekat dengan tarikh (nikah), kami saling berbincang tentang kehidupan. Ada perkara dia nak, saya tak okey dan sebaliknya.
“Hasil perbincangan itu, kami memilih untuk mengambil satu langkah ke belakang sebab tak mahu berada dalam hubungan yang boleh dikatakan tak sehaluan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Suhaimi menyatakan beliau bersyukur fasa merisik memberikannya peluang mengenali hati budi wanita itu dengan lebih mendalam sebelum masuk ke peringkat seterusnya.
“Saya rasa inilah hikmah adat merisik tersebut ialah berpeluang mengenali hati budi. Saya bersyukur dapat kenal dia, termasuk keluarganya dan tiada satu rasa penyesalan pun.
“Walaupun sudah berpisah, kami juga berharap dan berdoa masing-masing menemui kebahagiaan. Jodoh di tangan Tuhan, mungkin kami akan bahagia bersama pada masa depan, siapa tahu?” jelasnya lagi.