Coach Cerai atau Mohd Izary Muhammed Ikbal kini kembali jadi tumpuan netizen selepas pelakon Kamal Adli meluahkan rasa tidak puas hati kepadanya.
Dan terbaru, tular satu video di mana Coach Cerai mendakwa dia pakar dalam mengenal pasti tahap kebahagiaan dan ketahanan sesebuah perkahwinan hanya dalam tempoh lima minit pertemuan.
Menurut Izary, pemerhatian ringkas terhadap interaksi pasangan boleh membantu beliau menilai potensi hubungan itu untuk bertahan atau sebaliknya.
“Kalau saya jumpa satu pasangan dan luangkan masa bersama mereka selama minit, saya boleh tahu pasangan itu boleh bertahan lama atau tidak. Saya hanya perlukan lima minit saja untuk tahu mereka bahagia atau tidak,” katanya ketika menjadi tetamu dalam satu sesi podcast – seperti dilaporkan mStar.
Dia turut menegaskan bahawa penilaiannya bukanlah mutlak 100% kerana bukan ilmu ghaib, tetapi lebih kepada pemerhatian corak tingkah laku yang sering berlaku dalam banyak kes rumah tangga.
“[Tak semestinya betul tetapi ketepatannya boleh dikatakan tinggi berdasarkan pattern yang selalu dilihat],” ujarnya lagi.
Coach Cerai juga berkongsi pengalaman pernah menangani pasangan yang nampak bahagia di media sosial, namun realitinya berbeza. Di mana suami kelihatan penyayang di Instagram tetapi di rumah kasar terhadap isteri.
Seorang wanita tampil romantik di depan umum tapi sebenarnya curang dalam hubungan.
Menurutnya lagi, itu menyebabkan ramai pasangan tertipu oleh gambaran luaran, terutama melalui media sosial — sekali gus menyukarkan penilaian sebenar mengenai kebahagiaan rumah tangga.
“Jadi kita jangan percaya 100% dengan apa yang kita lihat di media sosial,” tuntasnya.