Perseteruan antara Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi mungkin sudah tidak begitu didebatkan lagi pada ketika ini berikutan faktor usia yang semakin lanjut.
Dua ikon bola sepak dunia yang pernah mendominasi perbincangan selama lebih sedekad kini berada di fasa akhir karier mereka.
Baca Juga:
- Ledak 2 Gol Pada Aksi Kelayakan Piala Dunia, Cristiano Ronaldo Pintas Lionel Messi

- Javier Mascherano: ‘Inter Miami Menang Ke Atas Porto Kerana Semangat ‘GOAT’ Messi’
- Takut 5G Jejas Tidur! Ini Tabiat Cristiano Ronaldo Dibongkarkan Oleh Cedric Soares

Masing-masing membawa haluan berbeza dimana Ronaldo sudah berkelana ke Arab Saudi bersama Al-Nassr manakala Messi pula menikmati kehidupan baharu di Amerika Syarikat dengan menyarung jersi Inter Miami.
Namun, pengaruh kedua-duanya masih hidup apabila mereka berjaya memecahkan rekod baharu dalam karier mereka.
Cristiano Ronaldo & Lionel Messi Masih Berbisa
Ronaldo kini telah berjaya memintas rekod yang sebelum ini dipegang pemain Guatemala, Carlos Ruiz sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah kempen Kelayakan Piala Dunia.
Terikat 39 gol sebelum aksi bertemu Hungary awal pagi tadi, Ronaldo menambah dua lagi jaringan yang dihasilkannya pada minit ke-22 dan 45+2 untuk melakar sejarah baharu itu.
Dengan dua gol terbaharu itu, ikon Portugal berusia 40 tahun tersebut juga kini telah mengumpul 948 gol rasmi dalam kariernya.
Satu pencapaian luar biasa bagi pemain yang terus mencabar batas usia dan masa itu.

Sementara itu, Messi pula memecahkan rekod dunia dengan menjadi pemain yang mencipta bantuan jaringan terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa.
Dalam aksi persahabatan menentang Puerto Rico yang berkesudahan Argentina menang besar 6-0, Messi menyumbang dua bantuan jaringan bagi menjadikan jumlah keseluruhannya 60 bantuan gol di peringkat antarabangsa.
Catatan itu membolehkannya mengatasi Neymar (58) dan Landon Donovan (58) sekaligus berdiri sebagai raja ‘assist’ dunia dalam bola sepak antarabangsa.
Lebih menarik, Messi kini hanya memerlukan dua sahaja lagi bantuan jaringan untuk mencapai angka 400 dalam keseluruhan karier profesionalnya, satu angka luar biasa bagi pemain yang terus menulis sejarah baharu pada usia 38 tahun.
Walaupun usia semakin menginjak dan langkah mereka kini membawa ke benua berbeza, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi terus membuktikan bahawa legenda sebenar tidak pernah pudar ditelan masa.
Mereka bukan sekadar simbol kepada era keemasan bola sepak moden tetapi juga lambang kepada ketekunan, disiplin dan cinta abadi terhadap permainan ini.