Cristiano Ronaldo mengenepikan perseteruannya dengan Lionel Messi apabila tampil menyampaikan kata-kata semangat kepada bintang Argentina itu susulan pemergian bapanya, Jorge Messi, pada usia 68 tahun.

Jorge merupakan antara individu paling penting dalam kehidupan dan kerjaya Messi. Beliau bukan sahaja menjadi bapanya, malah bertindak sebagai ejen Messi sejak anaknya itu masih muda.

Messi berkongsi sekeping gambar bersama bapanya di Instagram dengan kapsyen penuh emosi kepada ayahnya yang sudah tidak lagi bersama dengan dia dan keluarganya.

Antara komen yang paling mencuri perhatian ialah daripada Ronaldo, yang selama bertahun-tahun menjadi pencabar utama Messi dalam perebutan gelaran pemain terbaik dunia.

Bintang Al Nassr itu menulis: “Pelukan erat buat kamu dan keluarga dalam saat yang sukar ini, Leo. Semoga terus kuat.”

Komen Ronaldo itu membuatkan peminat terharu melihatnya. Dan tidak lupa bahawa CR7 sendiri pernah kehilangan ayahnya yang tersayang pada usianya masih muda.

Perseteruan Ronaldo dan Messi sudah berlangsung lebih sedekad, terutama ketika kedua-duanya beraksi di Real Madrid dan Barcelona.

Mereka sering dibandingkan dalam pelbagai aspek, termasuk jumlah jaringan, trofi dan anugerah individu.

Namun, di sebalik perseteruan mereka di atas padang, kedua-duanya tetap menunjukkan rasa hormat antara satu sama lain.

Kali ini, Ronaldo sekali lagi membuktikan perkara itu apabila mengetepikan segala persaingan untuk memberikan sokongan kepada Messi yang sedang berdepan kehilangan insan paling penting dalam hidupnya.