Cristiano Ronaldo mengesahkan bahawa Piala Dunia 2026 merupakan penampilan terakhirnya di pentas terbesar bola sepak dunia.
Kapten Portugal itu membuat pengesahan tersebut ketika sidang media menjelang aksi penting menentang Sepanyol, sambil mengakui dia mahu menikmati setiap detik yang masih berbaki dalam kejohanan tersebut.
“Ini Piala Dunia terakhir saya, jadi ayuh kita sama sama menikmatinya. Cuma saya harap ini bukan perlawanan terakhir saya di Piala Dunia,” kata Ronaldo.

Namun, suasana sidang media menjadi lebih menarik apabila pemenang lima Ballon d’Or itu secara berseloroh meminta mikrofon diberikan kepada seorang wartawan yang didakwanya sebagai antara pengkritik paling tegar dirinya.
“Berikan mikrofon kamu kepada lelaki muda yang berada di hadapan kamu itu. Ya, yang [wartawan] tak suka saya itu.
“Saya nak dengar soalan daripada dia. Harap dapat soalan yang bagus.
“Yang, saya maksudkan kamu,” kata Ronaldo yang memberitahu wartawan lain bahawa dia kenal dengan wartawan tersebut.
“Saya kenal dia. Dan saya tahu dia memang bencikan saya,” sambungnya.
Wartawan berkenaan kemudian bertanya apakah cabaran paling sukar buat Ronaldo yang kini berusia 41 tahun untuk terus bersaing di Piala Dunia.
Namun, Ronaldo sekali lagi mencetuskan gelak ketawa apabila menjawab bahawa cabaran terbesar bukanlah aksi di atas padang, sebaliknya berdepan dengan segelintir pengamal media.
Ronaldo malah tidak melepaskan peluang menyindir wartawan yang merupakan ‘haters’ dia.
Ronaldo menambah: “Bahagian paling sukar adalah bercakap dengan sebahagian daripada kamu (wartawan), terutamanya mereka yang tak suka saya.
“Dan kamulah orangnya, kamu salah seorang daripada mereka. Saya tahu itu.
“Saya tak pernah lupa wajah. Saya hanya perlu lihat seseorang sekali, dan wajah itu akan kekal dalam ingatan saya.”
Ronaldo desafiou o jornalista brasileiro Marcelo Bechler a fazer-lhe uma pergunta. pic.twitter.com/lyhRV7IKvV
— B24 (@B24PT) July 5, 2026
Selepas menyindir dengan wartawan tersebut, Ronaldo memberikan jawapan lebih serius mengenai rahsia dirinya masih mampu bersaing pada usia 41 tahun.
Menurutnya, segala pencapaian itu hadir hasil pengorbanan dan keupayaan menyesuaikan diri apabila usia semakin meningkat.
“Tentang bermain pada usia 41, saya rasa ia satu pengalaman yang hebat sebab untuk sampai ke tahap ini perlukan banyak pengorbanan.
“Apa yang saya buat sepanjang karier saya ialah menyesuaikan diri dengan perubahan bila umur meningkat, sambil sedar yang saya bukan lagi pemain yang sama macam dulu.
“Tapi satu perkara tak berubah: saya masih menjaringkan gol.”
Ronaldo turut berharap dapat menemui jaringan dalam aksi menentang Sepanyol, namun menegaskan kejayaan Portugal mara ke pusingan seterusnya jauh lebih penting berbanding rekod peribadinya.
“Jadi saya harap saya boleh jaringkan gol esok. Kalau tak, saya harap rakan sepasukan saya yang jaringkan, sebab kita perlu layak, dan itu yang paling penting.
“Apa yang kekal dalam ingatan ialah bermain di kelayakan, bermain lawan pasukan kebangsaan yang hebat, dan akan jadi sesuatu yang indah kalau kami boleh kalahkan Sepanyol esok.”
Sekiranya Portugal tersingkir daripada kejohanan kali ini, ia akan menutup tirai perjalanan luar biasa Ronaldo di pentas Piala Dunia selepas enam penampilan berturut-turut sejak edisi 2006 di Jerman.