Dua penyanyi terkenal, Datuk Sri Siti Nurhaliza dan Judika bakal berkongsi pentas pada konsert 14 Disember ini di Stadium Merdeka, namun sudah ada yang bersuara dengan rasa kurang senang kerjasama antara dua artis ini.

Sejak konsert ini diumumkan beberapa hari lalu, hangat di media sosial apabila peminat menyuarakan pandangan berbeza mengenai kolaborasi dengan artis Indonesia, dengan sebahagian peminat merasakan bahawa Siti Nurhaliza sepatutnya lebih memilih bakat tempatan daripada artis negara seberang.

Dalam satu ciapan awal yang tular dimuat naik oleh @CityLita, beliau menyuarakan kekecewaan selepas artis Indonesia dipilih sambil memberi pendapat bahawa terdapat ramai lagi artis tempatan yang layak bekerjasama dan bakal mendapat manfaat besar daripada kolaborasi ini.

Ciapan itu dibalas oleh netizen yang merasakan bahawa Siti sebenarnya tidak perlukan sesiapa untuk menyokong beliau di konsert terbabit.

“Dia sorang-sorang je pun dah cukup,” tulisnya.

Kenyataan ini mendapat sokongan netizen dengan ramai yang bersetuju bahawa Siti – seorang lagenda – sudah mempunyai daya tarikan yang kuat untuk menarik peminat datang ke stadium.

Bagaimanapun, ada juga peminat yang melihat itu bukan satu masalah kerana beliau merasakan bahawa kerjasama dua artis ini lebih kepada penghargaan hubungan baik antara industri muzik Malaysia dan Indonesia.

Menurut mereka, konsert tersebut telah dirancang sebagai “Konsert Persahabatan”, dengan matlamat jangka panjang untuk memperluaskan pengaruh di Indonesia.

Apa yang menarik, seorang netizen merasa kasihan dengan Siti Nurhaliza apabila segala keputusan yang dibuat oleh Siti diawasi dengan ketat oleh netizen.

Menurutnya, Siti sering berdepan dengan pelbagai batasan dalam segala hal, daripada isu pakaian, penampilan di majlis-majlis, sehinggalah pilihan untuk kerjasama.

Netizen ini menegaskan, “Baju terbatas, event award terbatas, event awam terbatas, konsert pun nak collab dengan siapa terbatas pula… Sitizone?”

Untuk rekod, dua figura, Dato Sri Siti Nurhaliza dan Judika bakal mempersembahkan konsert berjudul The Journey of Sound yang bakal bertemu peminat di Stadium Merdeka pada 14 Disember 2024 nanti.

Untuk itu, buat peminat Siti Nurhaliza dan Judika jangan lupa beli tiket-tiket dengan harga kategori bermula RM 199 (CAT 5), RM 299 (CAT 4), RM 399 (CAT 3 LOWER / UPPER), RM 499 (SEAT 3), RM 599 (SEAT 2), RM 699 (SEAT 1), RM 799 (ROCK ZONE), RM 799 (VIP ROYAL BOX), RM 899 (VIP ROCK ZONE), RM 1,199 (VIP), RM 1,299 (SUPER VIP) di TICKET2U.COM.MY.