Peningkatan sektor pelancongan pasca-pandemik seharusnya menjadi berita baik bagi ekonomi negara, namun ia kini dibayangi oleh kebimbangan terhadap ‘pelancongan kelas rendah’ (low-class tourism).
Keluhan orang awam mengenai sikap pelancong yang tidak menghormati norma tempatan bukan sekadar isu remeh, malah ia menyentuh soal keselesaan rakyat dan imej Malaysia di mata dunia.
Baru-baru ini, seorang warga tempatan berkongsi satu pengalaman berdepan dengan dua pelancong asing yang berkelakuan tidak beretika sewaktu menaiki perkhidmatan KLIA transit (ERL) yang langsung menjejaskan pengalaman pengguna lain.
Dakwanya sudahlah mengalami masalah bau yang busuk, mereka juga dengan selamba turut meletakkan kasut dan kaki di atas kerusi.

Walaupun telah ditegur oleh warga tempatan, kedua-dua pelancong yang dipercayai geng ‘backpackers’ itu seperti tidak memahami bahasa Inggeris lalu kekal berbuat sedemikian.
Tindakan pelancong luar yang tidak rasional itu langsung menjadi perdebatan hebat di kalangan pengguna media sosial tempatan.
Seorang individu berpendapat negara Malaysia kini sudah dipenuhi dengan pelancong yang tidak berkualiti yang mana bakal menjadi isu serius kerana imej negara ini menjadi taruhan.
Selain itu, pengguna media sosial yang lain menyoal tahap kebersihan pengangkutan awam ini memandangkan tindakan individu yang tidak menjaga kebersihan ini boleh menyebarkan penyakit tanpa kita sedari.
Seorang pengguna turut menceritakan masalah bau kuat yang melekat pada kerusi itu menyebabkan pengalaman menaiki ERL bertukar menjadi satu mimpi ngeri.
Oleh itu, pengguna tempatan memohon pihak ERL untuk memandang serius akan isu tersebut kerana melibatkan keselesaan awam serta nama Malaysia di mata dunia.
Selain itu, pihak kerajaan disarankan melakukan tapisan yang lebih ketat dengan mengenakan visa seperti kita pergi ke negara Amerika Syarikat.
Adakah isu ini hanya terjadi di Malaysia? Tidak sama sekali, malahan negara jiran lain seumpama di Bali, Indonesia turut mengutarakan isu yang sama di mana kebanjiran pelancong murahan ini telah memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang.