Seorang YouTuber dari negara seberang telah menjadi topik sensasi di media sosial selepas berkongsi ulasan mencuba mi segera terkenal di Indonesia berdasarkan pernilaian peribadinya.
Potongan klip YouTuber yang dikenali sebagai Tasyi Anthasyia menjadi tular selepas dia mendakwa mi segera popular yang disayangi warga setempat di sana iaitu Indomie mempunyai bau seperti sambal kala jengking.
Di dalam video itu, dipercayai dia sedang mencuba pelbagai varian Mi Indomie untuk memberi ulasan kepada para peminatnya.
Dalam pada itu, dia telah mengeluarkan satu komen pedas berkenaan Mi Indomie perasa Aceh yang mana mencetus kemarahan di kalangan rakyat Indonesia.
Selepas merasainya, Tasyi menyatakan bahawa aroma Mi Goreng Aceh mengingatkannya kepada ‘sambal kala jengking’ yang biasa ditemui dalam hidangan mi ayam.
Dia juga menambah bahawa terdapat aroma tomato yang tidak segar, yang menyebabkan dia kurang menikmati varian tersebut. ‘Maaf sangat, ada aroma tomato busuk,’ katanya sambil menahan ketawa.
@hops.id TASYI KENA HUJAT! PERKARA MIE INSTAN, TANGGAPAN NETIZEN? #hops #hopsid #viral #trending #tiktoktainment #fyp #foryou #netizen #tasyiathasyia #tasyi #foryou
Susulan itu, dia telah diserang secara berjemaah oleh netizen Indonesia yang mana rata-ratanya meluahkan rasa geram dengan kenyataan tersebut kerana telah mengguris hati ramai peminat jenama tersebut.
Ramai berpendapat mi itu rasanya bagus sahaja dan tidak menafikan ada bau pelik tetapi tidaklah seteruk yang diperkatakan.
Perkara ini bertambah hangat apabila Indomie ini dianggap sebagai kebanggaan negara sekaligus dengan komentar sebegitu telah mencalarkan nama baik produk negara itu malah komuniti Aceh sendiri secara tidak langsung.
Ada media di internet turut mendakwa YouTuber itu telah menerima ancaman bunuh tetapi tidak diketahui kesahihannya.