Di sebalik drama besar perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, satu kisah yang tak ramai tahu sedang berlaku di belakang tabir — dan Malaysia, secara tak langsung, jadi ‘watak tambahan’ yang penting.

Segalanya bermula apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, melancarkan langkah drastik dengan mengenakan tarif import sehingga 245% terhadap barangan dari China.

Langkah ini, yang dikatakan bertujuan untuk “melindungi ekonomi Amerika”, telah membuatkan pengusaha-pengusaha di China kelam kabut mencari cara untuk terus masuk ke pasaran Amerika tanpa tercekik cukai.

Jalan Pintas Elak Tarif

Jawapannya? Mereka mencari jalan pintas. Dan yang jadi jalan pintas itu ialah, Malaysia.

Malaysia
Sumber: Wikipedia

Kini, media sosial di China — terutamanya platform popular seperti WeChat dan Weibo — menjadi medan iklan bagi para ahli perniagaan logistik yang menawarkan satu servis yang dinamakan “pencucian di tempat asal”.

Tujuan mereka adalah untuk ubah barang asal daripada “Made in China” kepada “Made in Malaysia”, dan teruskan penghantaran ke AS.

Dengan itu, pengusaha boleh elak cukai melambung dan masih kekal kompetitif dalam pasaran Amerika.

Laporan dari SAN mendedahkan bahawa Malaysia kini menjadi salah satu titik transit paling popular dalam strategi licik ini.

Dengan tarif import dari Malaysia ke Amerika yang hanya sekitar 24%, atau hanya 10% dalam tempoh jeda 90 hari yang diumumkan Trump, ia jauh lebih menguntungkan berbanding tarif ke atas barangan dari China.

Iklan Promo Guna Jalan Pintas

Pengusaha China tidak main-main, mereka siap iklan servis ini kepada umum.

Malaysia
Sumber: The Edge

Dalam iklan itu, mereka secara terang-terangan mempromosi teknik transit melalui Malaysia sebagai penyelesaian kepada masalah tarif tinggi dari China.

“AS telah mengenakan tarif atas produk-produk China? Transit melalui Malaysia untuk ‘berubah’ menjadi barang-barang Asia Tenggara!”

Namun, strategi ‘nakal’ ini kini mula menimbulkan keresahan dalam kalangan pemain industri dan pihak berkuasa di Malaysia.

Ramai yang bimbang reputasi negara sebagai rakan dagang yang sah dan boleh dipercayai bakal tercemar jika amalan ini berterusan.

Malaysia
Sumber: SCMP

Dalam konteks global, tindakan China ini sebenarnya tidak mengejutkan.

Dengan eksport ke Amerika yang hampir lima kali ganda lebih besar berbanding import dari sana, tekanan terhadap ekonomi China amat ketara.

Mencari pasaran baru bukan perkara mudah dan memerlukan masa — jadi jalan pintas seperti melalui negara ketiga menjadi pilihan sementara yang ‘efisien’, walaupun penuh risiko.