Buat julung kalinya, pihak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berkongsi gambaran serta perincian bahagian dalaman Tren Comprehensive Inspection Train (C.I.T.).

Menerusi hantaran Facebook ECRL, tren khas jenis enam gerabak Electric Multiple Unit (EMU) model ‘CR200J’ buatan CRRC Dalian, China ini direka khusus untuk memastikan aspek keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian rel sepanjang 665 kilometer tersebut.

Berupaya memecut sehingga kelajuan 160 km/j, tren C.I.T. berperanan sebagai ‘makmal bergerak’ yang bertugas merekod parameter geometri landasan, memantau sistem semboyan, serta meneliti kualiti bekalan elektrik Overhead Catenary System (OCS).

Fungsi ini amat penting bagi menjamin kelancaran fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL kelak.

Dilengkapi Fasiliti Moden dan Selesa

Buat Pertama Kali, ECRL Kongsi Apa Ada Di Dalam Tren 'C.I.T'

Buat Pertama Kali, ECRL Kongsi Apa Ada Di Dalam Tren 'C.I.T'

Buat Pertama Kali, ECRL Kongsi Apa Ada Di Dalam Tren 'C.I.T'

Buat Pertama Kali, ECRL Kongsi Apa Ada Di Dalam Tren 'C.I.T'

Bagi menyokong tugas pemantauan teknikal di sepanjang jajaran, ruang dalaman tren ini diatur dengan pelbagai kemudahan serba canggih dan selesa, antaranya:

Pusat Operasi & Kerja: Dilengkapi Bilik Kawalan untuk pemantauan data secara langsung, Bilik Persidangan bagi perbincangan pasukan teknikal, dan Bilik Multimedia.

Kemudahan Peserta & Krew: Menyediakan Bilik Solat untuk kemudahan ibadah, Ruang Makan, Kabin Kelas Perniagaan, serta tandas.

Lalui Ujian Ketat Sebelum Operasi Komersial

Setelah berjaya melepasi Ujian Penerimaan Kilang (Factory Acceptance Test / FAT), tren C.I.T. kini bersedia untuk menjalani ujian System Integration Testing (SIT) dan Fault-Free Run (FFR) di bawah kawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ujian menyeluruh ini memastikan semua peranti dan infrastruktur mematuhi piawaian keselamatan serta perundangan tertinggi.

Majlis peluncuran rasmi tren C.I.T. ini telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook, sekali gus menandakan satu lagi tonggak penting dalam pembangunan projek infrastruktur rel negara.