Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengesahkan bahawa kerajaan telah meluluskan cadangan struktur tambang bagi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 16 Oktober lalu.
Menjelang permulaan operasi komersial landasan kereta api berkenaan yang dijadualkan pada pertengahan Disember ini, kadar tambang bagi perkhidmatan transit Kelas Ekonomi dari Gombak ke Kota Bharu akan bermula daripada RM125.
Memetik Berita Harian, penetapan cadangan struktur tambang bagi laluan sepanjang 523 kilometer tersebut dibuat berdasarkan mekanisme penetapan harga dinamik.
Bagi perkhidmatan Ekspres laluan Gombak ke Kota Bharu pula, tambang akan bermula daripada RM147.
Syarikat pengendali itu turut memperincikan kadar tambang bagi laluan-laluan utama yang lain:
Gombak ke Kuala Terengganu: Tambang perkhidmatan Transit bermula daripada RM95, manakala perkhidmatan Ekspres bermula daripada RM110.
Gombak ke KotaSAS: Tambang perkhidmatan Transit bermula daripada RM60, manakala perkhidmatan Ekspres bermula daripada RM68.
Pengenalan struktur tambang ini menandakan persediaan akhir ECRL sebelum membuka perkhidmatannya secara rasmi kepada orang ramai menjelang penghujung tahun ini.