Bermula dari sebuah perniagaan kecil ketika dunia dilanda pandemik COVID-19 pada tahun 2020, siapa sangka jenama kasut tempatan, Machino, kini berjaya menempa nama di persada antarabangsa.
Dua beradik yang juga pengasas jenama ini, Esther Tai Shen Hui dan Amy Tai Shuh Yuk, baru-baru ini melakar sejarah apabila diiktiraf dalam senarai berprestij Forbes 30 Under 30 Asia Class of 2026.

Anugerah ini mengiktiraf mereka sebagai usahawan muda dan pencetus perubahan dalam kategori runcit dan e-dagang di rantau Asia Pasifik.
Segalanya bermula dengan satu impian yang ringkas iaitu menghasilkan kasut wanita yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi sangat selesa dipakai.

Untuk merealisasikan impian ini, mereka telah bekerjasama dengan bapa saudara yang mengusahakan kilang kasut. Hasilnya, mereka berjaya mencipta kasut buatan tangan 100 peratus yang mendapat tempat di hati ramai pembeli.
Bercerita mengenai rahsia keselesaan produk mereka, Esther menjelaskan: “Kasut kami mempunyai lapisan span dalaman yang tebal dan ramai pelanggan memberitahu mereka boleh memakainya sepanjang hari, termasuk untuk melakukan urusan harian.
Itu antara pencapaian terbesar kami, iaitu menghasilkan kasut bertumit yang selesa sehingga pelanggan kembali membeli berulang kali.”
Nama Machino dipilih dengan semangat nasional

Menariknya, jenama Machino ini membawa jiwa Malaysia yang sebenar ke dalam rekaannya.
Malah, nama ‘Machino’ itu sendiri adalah gabungan perkataan yang mewakili kepelbagaian kaum di negara kita: “MA” merujuk kepada Melayu, “CH” kepada Cina, “IN” kepada India, dan “O” merujuk kepada Others (Lain-lain).
Kasut dan beg mereka juga sering dihiasi dengan motif ikonik ‘Bunga Hana’ sebagai simbolik menghargai budaya tempatan.
Membawa elemen tradisi ke dalam fesyen moden bukanlah sesuatu yang mudah, namun Machino berjaya melakukannya dengan cemerlang.
Mahu kekalkan budaya Malaysia pada produk

Esther berkongsi rasa bangganya terhadap identiti jenama mereka: “Daripada corak batik yang halus hingga ke tekstur songket dan broked Cina, reka bentuk kasut kami menggabungkan elemen-elemen ini bagi menonjolkan keindahan serta kepelbagaian budaya Malaysia.”
Dari segi perniagaan, Machino selesa menggunakan model jualan terus kepada pengguna (direct-to-consumer) melalui laman web rasmi mereka, TikTok Shop, serta kedai fizikal di Putrajaya dan Selangor.
Pendekatan ini membantu mereka mengurangkan kos pengedaran tradisional, mengelakkan lebihan pengeluaran, dan memahami kehendak pelanggan dengan lebih pantas.
Integrasi AI untuk produktiviti seharian
Selain itu, mereka juga pantas memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk mempercepatkan kerja harian.
Walaupun dibantu teknologi moden, sentuhan dan penilaian manusia tetap menjadi keutamaan pasukan Machino. Esther menerangkan bagaimana AI digunakan dalam syarikat:
“AI membantu kami mengikuti trend industri, menjana idea, menyediakan bahan latihan dan menyusun maklumat dengan lebih efisien.
“Namun, AI tidak menggantikan proses membuat keputusan; ia membantu pasukan menjimatkan masa dan memberi tumpuan kepada kerja bernilai tinggi.”
Kini, Machino bukan sahaja menawarkan kasut wanita, malah jenama ini turut berkembang dengan menjual beg tangan, kasut kanak-kanak, dan sandal lelaki.
Dengan perancangan untuk menembusi pasaran Singapura sebagai langkah antarabangsa pertama mereka, kejayaan tersenarai di dalam Forbes yang menewaskan hampir 4,000 pencalonan lain pastinya menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya.
Sebagai penutup, Esther meluahkan rasa syukurnya atas perjalanan luar biasa perniagaan mereka setakat ini:
“Terpilih dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2026 adalah satu detik yang membanggakan buat kami. Pengiktirafan ini bukan hanya untuk saya dan Amy, tetapi untuk seluruh pasukan yang telah bekerja keras membina Machino.
“Apa yang bermula sebagai impian dua beradik kini berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar daripada yang pernah kami bayangkan.”