Bagi mahasiswa hari ini, pembelajaran bukan sekadar duduk di dalam kelas dan catat nota.
Selepas kuliah, mungkin ada tugasan yang perlu dihantar secara dalam talian, bahan rujukan yang perlu dicari, perbincangan kumpulan diadakan melalui video call atau pembentangan yang perlu disiapkan bersama rakan.
Sebab itu, akses Internet yang baik menjadi sebahagian daripada rutin harian di kampus, bukan sekadar kemudahan tambahan.
Menyedari keperluan tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh ketersambungan Wi-Fi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta institusi latihan kemahiran di seluruh negara.
539 lokasi diperkukuh di seluruh negara
Projek ini melibatkan 539 lokasi merangkumi IPTA serta institusi latihan kemahiran di bawah MARA dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Daripada jumlah itu, 294 lokasi atau 55 peratus telah siap dan beroperasi, manakala pelaksanaan di lokasi lain masih diteruskan.
Untuk IPTA pula, pelaksanaan Fasa 1 dan Fasa 2 telah siap sepenuhnya, melibatkan 191 lokasi.
Pelaksanaan seterusnya diteruskan menerusi IPTA Fasa 3 serta peluasan ke institusi di bawah MARA dan KESUMA.
Skala pelaksanaan ini menunjukkan usaha memperkukuh akses Internet bukan hanya tertumpu di satu atau dua kampus, sebaliknya melibatkan ratusan lokasi di seluruh negara.
Bukan sekadar Wi-Fi dalam dewan kuliah
Bagi mahasiswa, keperluan Internet tidak berhenti apabila kelas tamat.
Ada masa mereka perlu ke perpustakaan untuk membuat penyelidikan, ke makmal untuk menyiapkan tugasan atau menyertai perbincangan kumpulan di pusat pelajar.
Malah, kolej kediaman juga menjadi antara ruang penting untuk pembelajaran.
Dengan ketersambungan Wi-Fi yang lebih baik, mahasiswa boleh menggunakan Internet untuk mengakses bahan akademik, mengikuti pembelajaran dalam talian, menyiapkan tugasan dan berkomunikasi dengan rakan sekumpulan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada data mudah alih sendiri.
Secara tidak langsung, kemudahan ini boleh membantu menjadikan Internet sebagai sebahagian daripada persekitaran pembelajaran kampus, bukan sesuatu yang perlu dicari apabila diperlukan.
Kurang bergantung pada data sendiri
Bayangkan perlu menghadiri kelas dalam talian, memuat turun fail bersaiz besar atau membuat panggilan video untuk tugasan berkumpulan, tetapi pada masa sama perlu berjimat dengan kuota data sendiri.
Bagi sesetengah mahasiswa, situasi seperti ini boleh menjadi cabaran terutama apabila Internet diperlukan hampir setiap hari.
Sebab itu, ketersambungan Wi-Fi di kolej kediaman turut memberi manfaat kepada kehidupan harian mahasiswa.
Daripada mengulang kaji pada waktu malam hingga menyiapkan tugasan berkumpulan, akses Internet yang lebih baik membolehkan mahasiswa menggunakan ruang kampus dengan lebih fleksibel mengikut keperluan pembelajaran mereka.
Dari ada Wi-Fi kepada ketersambungan yang betul-betul berguna
Pada akhirnya, isu ketersambungan bukan sekadar soal sama ada sesebuah kampus mempunyai Wi-Fi atau tidak.
Yang lebih penting ialah sama ada Internet itu boleh digunakan dengan baik ketika mahasiswa memerlukannya ketika belajar, membuat tugasan, menjalankan penyelidikan atau berkomunikasi.
Pendekatan ini selari dengan usaha MCMC untuk melihat ketersambungan secara lebih menyeluruh, dengan memberi perhatian kepada pengalaman serta manfaat sebenar yang diterima pengguna.
Bagi mahasiswa, maksudnya mudah: lebih banyak ruang untuk belajar, berhubung dan mengurus kehidupan kampus tanpa terlalu bergantung kepada data mudah alih sendiri.
Dengan 539 lokasi terlibat di seluruh negara dan 191 lokasi IPTA bagi Fasa 1 dan 2 telah siap sepenuhnya, usaha memperkukuh ketersambungan kampus ini menjadi sebahagian daripada usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih bersedia untuk keperluan digital mahasiswa hari ini.