Bagi pencinta seni jalanan dan ilustrasi tempatan, nama FriTillDea, singkatan kepada frasa ‘Friends Till Dead’ atau kawan sampai mati, bukanlah satu nama yang asing.
Dikenali sebagai artis doodle, ilustrator dan pelukis mural, setiap garisan yang terhasil daripada tangannya bukan sekadar corak abstrak yang memukau mata, tetapi satu jemputan untuk orang ramai yang curious berhenti sejenak dan berfikir.
Dalam satu perkongsian eksklusif bersama Vocket, FriTillDea membuka cerita tentang falsafah di sebalik karyanya, bagaimana sekeping kertas di kedai mamak menjadi ruang terapinya, serta hala tuju terbaharunya dalam dunia seni visual, yang bakal dipaparkan secara langsung di acara Curious Studio.
Semangat meraikan rasa curious serta keberanian meneroka pelbagai cabang kreatif seperti yang dibawa oleh FriTillDea ini bakal menemui penonton secara langsung menerusi Curious Studio, sebuah pengalaman multi deria eksklusif yang melangkaui batas penglihatan, bunyi dan rasa. Slot adalah terhad, layari link ini sekarang untuk menempah tempat anda.
‘Pintu’ Sebagai Simbol Dunia Lain & Ruang Perbualan
Bagi FriTillDea, kepuasan sebenar berkarya di ruang awam hadir apabila orang ramai berhenti, memerhati, dan mula mempersoalkan apa yang mereka lihat. Baginya, seni tidak seharusnya bersifat sehala kerana reaksi, rasa ingin tahu, malah kritikan daripada masyarakat menjadikan sesebuah karya itu lebih ‘hidup’.
Jika diperhatikan dengan teliti, hampir kesemua karya FriTillDea mempunyai satu tanda dagang yang konsisten, iaitu simbol pintu dan tangga.
“Yang mana perasan, mereka akan selalu tanya kenapa ada banyak pintu dalam karya aku. Sebenarnya aku cuma nak orang rasa macam pintu ini bawa mereka ke satu dunia yang lain,” jelasnya.
Simbolik ringkas itu berjaya mencetuskan interaksi organik antara karya dan penonton, membuatkan setiap individu mentafsirkan sendiri ke mana arah ‘pintu’ tersebut membawa imaginasi mereka.
Terapi Hitam Putih Di Kedai Mamak Sebelum Bermain Warna
Menariknya, proses kreatif FriTillDea tidak bermula di studio yang serba mewah. Sebaliknya, dia gemar melakar secara spontan di kedai mamak menggunakan pen hitam dan putih.
Menurutnya, lakaran hitam putih bukan sahaja pantas dan mudah, malah menjadi satu bentuk terapi yang menenangkan fikiran serta membawanya masuk ke dalam dunianya sendiri. Hanya selepas idea asas itu matang, barulah dia beralih ke medium yang lebih besar seperti kertas poster dan kanvas dengan penggunaan warna terang serta oil pastel untuk memberikan impak visual yang lebih menonjol.
Mencari Identiti Sendiri & Langkah Ke Dunia Arca
Mengambil inspirasi daripada nama besar antarabangsa seperti Keith Haring dan Andy Warhol, serta legenda kartunis tempatan seperti Ujang, FriTillDea percaya bahawa setiap artis perlu memiliki identiti tersendiri supaya karya mereka mudah dikenali walaupun tanpa tanda tangan.
Namun, dia enggan berada di takuk yang sama. Selepas meneroka lukisan atas kertas, kanvas dan mural berskala besar, FriTillDea kini sedang mengorak langkah untuk bereksperimen dengan penghasilan arca, termasuk menggunakan bahan kitar semula bagi mencipta sesuatu yang jarang dilihat dalam landskap seni jalanan di Malaysia.
Dia turut meluahkan rasa bangga melihat perkembangan ekosistem seni tempatan masa kini, di mana generasi pelukis muda semakin berani tampil di pelbagai art market dengan produk kreatif mereka sendiri, selain penerimaan ibu bapa yang kini jauh lebih terbuka menyokong minat anak dalam bidang seni.
Klik sini untuk tonton video.
Terokai Pengalaman Multi Deria Di Curious Studio Pada 3 dan 4 Disember Ini
Acara yang akan berlangsung pada 3 dan 4 Disember 2026, bermula jam 6.00 petang hingga 10.00 malam di IMMERSIFY KL ini menghimpunkan tiga nama besar dalam bidang masing masing di bawah satu bumbung.
Selain berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana FriTillDea menggabungkan elemen fine art dan budaya jalanan dalam sebuah karya seni yang unik, pengunjung juga bakal dibawa meneroka dimensi kulinari bersama chef bertaraf dua bintang Michelin, Darren Teoh.
Melengkapkan lagi suasana malam tersebut, pentas muzik akan dihangatkan oleh duo indie electronic tanah air, LapSap.
Tidak lagi hanya tertumpu kepada irama gamelan semata, LapSap kini meluaskan lagi eksplorasi muzik mereka dengan berkolaborasi bersama barisan pemuzik tradisional, menggabungkan akar muzik indie electronic mereka dengan sentuhan bunyi bunyian warisan budaya Malaysia untuk mencipta sesuatu yang segar dan luar jangkaan.
Bagi anda yang mahu merasai sendiri gabungan luar biasa seni visual, kulinari dan muzik tempatan dalam satu pengalaman yang imersif, pendaftaran kini dibuka. Layari link ini untuk menempah tempat anda di Curious Studio.
