Penyerang skuad negara, Darren Lok mahu membuktikan bahawa Malaysia sememangnya layak untuk beraksi dalam saingan Piala Asia 2023.

Bakal membuat penampilan keempat dalam saingan paling berprestij di Asia itu, skuad negara dijadualkan bertemu Jordan, Bahrain dan Korea Selatan dalam kempen kumpulan E.

Baca Juga:

Jordan dan Bahrain merupakan lawan yang pernah dihadapi skuad negara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini manakala kali terakhir pasukan senior Malaysia bertemu Korea Selatan adalah pada tahun 1989 ketika kempen Kelayakan Piala Dunia 1990.

Sedar cabaran sukar bakal dilalui, Darren bagaimanapun percaya semua pemain yang dipilih Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon pasti akan berusaha untuk memberikan saingan hebat setiap kali beraksi.

“Sudah tentu kami tahu ini merupakan kejohanan yang besar. Malaysia juga sudah lama tidak menyertai pertandingan ini,” ujar Darren bercakap kepada AlkassTVSports.

“Jadi, kami melakukan dengan baik untuk berada di sini [layak ke Piala Asia] dan kami telah berada di sini.”

“Sekarang ini adalah mengenai keluar beraksi dan menikmatinya serta membuktikan kami benar-benar layak berada di sini. Semua orang [pemain skuad Malaysia] sudah bersedia.”

“Ya, [Malaysia] dalam kumpulan sukar, setiap pasukan dalam pertandingan ini sekarang sangat kuat tetapi seperti yang saya katakan kami harus percaya, kami telah melakukannya dengan baik untuk sampai ke sini.”

“Jadi, kami datang ke sini untuk bersaing dan memberikan pasukan ini satu corak permainan yang bagus,” tambah Darren Lok lagi.

Aksi pertama bakal dilalui Darren Lok dan rakam sepasukannya dalam kempen Piala Asia 2023 adalah bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari kemudiannya menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea menjadi lawan terakhir di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari.