Tahukah anda mengenai Datuk Siti Nurhaliza yang sudah tersenarai tujuh tahun berturut-turut sebagai 500 individu Muslim berpengaruh dunia?
Terkini, penyanyi nombor satu negara ini disebut sebagai artis dengan sumbangan tertinggi menerusi Lembaga Zakat Selangor.
Perkara itu dikongsikan oleh Ketua Pengawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd menerusi program Bizjihad anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini. Malah, Siti Nurhaliza juga tidak pernah gagal menjelaskan bayaran zakat sejak lima tahun lalu.
“Boleh dikatakan dalam kalangan artis atau lebih spesifik, kalangan penyanyi saya boleh katakan Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah pembayar tertinggi zakat di Lembaga Zakat Selangor.
“Harapnya selepas ini, akan ada lebih ramai rakan artis yang mengikut jejak langkah Datuk Seri Siti.
“Dalam tempoh lima tahun tidak pernah gagal membayar zakat, walaupun banyak membuat kerja kebajikan lain seperti menguruskan Yayasan Nur Jiwa dan sebagainya,” katanya.
Memetik Harian Metro, Siti yang dikatakan mula membayar zakat di LZS sejak 2019 berkata, selama ini dia sering membuat pembayaran zakat di tempat kelahirannya di Pahang.
“Sejak mula aktif menyanyi sehingga tahun 2019 saya membuat pembayaran zakat di Pahang. Kemudian selepas berkahwin saya bayar zakat di LZS sehingga hari ini.
“Saya ini boleh dikatakan insan bertuah sebab sejak kecil mak selalu mengingatkan saya mengenai zakat.
“Selagi bernyawa, apa yang boleh saya teruskan (bayar zakat), saya akan cuba laksanakan. Lagipun dalam Rukun Islam kita perlu memenuhi kewajipan ini.
“Saya percaya zakat juga menyucikan semula harta-harta yang kita miliki. Saya sentiasa nak jadi orang yang dapat meringankan beban orang lain,” katanya.
Menurut Siti, setiap pendapatan yang diterima perkara pertama yang dilakukan adalah membayar zakat terlebih dulu.
“Membayar zakat ini memang sudah diingatkan dari kecil lagi sehinggakan setiap pendapatan yang diterima, saya akan buat potongan awal sebelum membayar komitmen lain.
“Bagi saya, ini adalah tanggungjawab setiap umat Islam dan syarikat. Jika kita nak harta kita bersih daripada perkara yang tidak diingini kita kena selalu ingat untuk berzakat,” katanya.
Sementara itu, menerusi platform X, potongan siaran langsung program berkenaan turut dimuat naik oleh seorang pengguna.
“Siti Nurhaliza pembayar zakat paling tinggi untuk kategori penyanyi” – Lembaga Zakat Selangor
“Tidak pernah miss bayar since 2019 walaupun ada bantuan/ yayasan sendiri” *before this byr dkt pahang* pic.twitter.com/5SVxwstHRh
— lita ❤️🔥 wooi yik (@CityLita) November 15, 2023
Perkongsian video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang meluahkan rasa kagum dengan penyanyi nombor satu negara itu.